KPDNHEP rampas diesel subsidi dengan nilai RM178,347.85

Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP melakukan pemeriksaan terhadap stesen minyak yang disyaki menjalankan aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi.

KUCHING, 23 Feb: Sejumlah 64,400 liter minyak diesel subsidi dengan nilai keseluruhan RM178,347.85 dirampas di Selangor baru-baru ini.

Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Azman Adam berkata, ia hasil dua siri serbuan yang dilakukan ke atas sebuah stesen minyak yang disyaki menjalankan aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi.

Serbuan dilakukan di sebuah stesen minyak yang beralamat di Jalan Pintasan Dengkil-Putrajaya dan di sebuah kawasan tapak pembinaan yang terletak bersebelahan.


“Ketika serbuan, terdapat sebuah lori yang telah diubahsuai sedang mengisi minyak diesel bersubsidi di salah sebuah pam stesen minyak berkenaan.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati, minyak diesel yang diisi ke dalam tangki yang telah diubahsuai pada lori berkenaan disyaki disalurkan terus ke sebuah tangki di kawasan tapak pembinaan terbabit.

“Ia melalui saluran separa kekal bawah tanah yang menghubungkan antara tangki lori berkenaan kepada sebuah tangki lain yang terletak di dalam kawasan tapak pembinaan terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Turut disita adalah sebuah lori berkapasiti 4 tan, saluran paip getah, sebuah compressor, satu set dekoder CCTV dan resit jualan berserta dokumen perniagaan yang lain.

Dua individu lelaki warga tempatan masing-masing berumur 35 tahun yang mengaku sebagai pengurus dan penyelia tapak pembinaan berkenaan turut ditahan bagi membantu siasatan.

Kertas siasatan telah dibuka dan siasatan lanjut terhadap kes ini akan dilakukan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961. — DayakDaily