Pajakan perlombongan sukarkan usaha bangunkan Bau

Dato Henry Harry Jinep

KUCHING, 23 Feb: ADUN Bau Datuk Henry Harry Jinep berpendapat Daerah Bau mungkin akan ketinggalan dari segi pembangunan jika pajakan perlombongan di sekitarnya tidak dilupuskan.

Beliau yang juga Menteri Muda Pengangkutan berkata, meskipun tiada lagi aktiviti perlombongan emas dilakukan namun tanah luas di Bau masih di bawah pajakan perlombongan.

Katanya, pajakan perlombongan itu sekaligus menghalang pembangunan di atas tanah dilakukan.

“Terdapat 13 pajakan perlombongan di Bau, ada yang masih aktif dan ada yang sudah tamat tempoh.

“Walaupun buat masa ini tiada aktiviti perlombongan dilakukan tetapi kalau hendak menunggu tempoh pajakan perlombongan itu tamat tempoh, kita sudah terlalu lambat untuk melaksanakan pembangunan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pada Majlis Aspresiasi Media di kediamannya di Bung Konis, Singai semalam.

Sehubungan itu, Henry memohon agar kerajaan mengkaji semula sama ada aktiviti perlombongan itu betul-betul memberi hasil yang lebik baik kepada Sarawak atau sebaliknya.

Sekiranya pajakan perlombongan itu tidak dilupuskan kata beliau, maka tanah-tanah itu sukar dibangunkan sekaligus membantutkan usaha untuk mentransformasikan Bau menjadi sebuah kawasan membangun menerusi perumahan, tarikan pelancong termasuk hotel, peranginan dan sebagainya.

“Kalau melombong emas, sudah tentu mendapat hasil tapi belum pasti berapa hasilnya.

“Maka sewajarnya pembangunan di atas tanah dilakukan…ini juga dapat mengelakkan isu alam sekitar,” kata Henry. — DayakDaily