KPDNHEP: Peniaga yang dikenakan tindakan digesa merujuk kepada Pejabat Kesihatan Daerah untuk pertimbangan

File photo depicting a trader at a local market.

KUCHING, 22 Jun: Peniaga yang tidak berpuas hati dengan tindakan yang diambil berhubung pematuhan prosedur operasi standard (SOP) digesa merujuk kepada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) yang berdekatan untuk pertimbangan selanjutnya.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam kenyataan hari ini berkata, tindakan diambil berdasarkan maklumat dan penerangan yang diberikan oleh peniaga semasa operasi dijalankan.

Katanya, ia juga berdasarkan penelitian pematuhan ke atas SOP Majlis Keselamatan Negara dan pendaftaran di sistem CIMS 3.0.


“Tindakan yang diambil itu berkaitan dengan Akta 342 SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Ia berdasarkan pengumuman Kerajaan mengenai penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi Fasa Pertama di seluruh negara selama 14 hari, bermula 1 Jun hingga 14 Jun yang telah dilanjutkan ke Fasa Kedua yang berakhir pada 28 Jun 2021,” katanya.

KPDNHEP menasihatkan peniaga supaya menyediakan dokumen-dokumen yang sah ketika pemeriksaan oleh Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP.

Ujarnya, sekiranya peniaga masih belum mendapat kelulusan untuk menjalankan operasi perniagaan, mereka boleh menghubungi pihak Kementerian untuk permohonan.

Maklumat lanjut tentang status permohonan mereka di talian 03-88825881/5905 atau melalui e-mel kepada roa@kpdnhep.gov.my.

Kenyataan dikeluarkan setelah mengambil maklum beberapa isu yang dibangkitkan dalam media sosial dan portal berita sejak akhir-akhir ini berkenaan tindakan yang diambil oleh Penguat Kuasa KPDNHEP terhadap peniaga-peniaga dan premis mereka. — DayakDaily