KPDNHEP: Peniaga diingat tidak sorok bekalan keperluan

Azman Adam (file pic)

KUCHING, 19 Dis: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberikan amaran kepada semua peniaga agar tidak melakukan aktiviti menyorok bekalan keperluan.

Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP Azman Adam berkata, ini bagi memastikan keperluan asas pengguna di kawasan yang terjejas akibat banjir mencukupi dan mudah diperolehi ketika ini.

“Peniaga yang didapati melakukan aktiviti menyorok bekalan keperluan ini akan dikenakan tindakan tegas di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.


“Pengguna juga dinasihatkan memaklumkan kepada pihak KPDNHEP sekiranya menghadapi kesukaran dalam memperolehi bekalan keperluan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) di seluruh Negara juga telah diaktifkan serta-merta.

Katanya, ia bagi memastikan laporan berhubung kekurangan bekalan keperluan asas di kawasan-kawasan yang terjejas akibat banjir dapat di atasi dengan segera.

“KPDNHEP juga ingin memberikan peringatan kepada pihak-pihak yang ingin menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir agar mendapatkan bekalan barang keperluan terbabit melalui pemborong-pemborong yang ada di lokaliti-lokaliti tertentu dan bukan melalui premis-premis di peringkat runcit bagi mengelakkan bekalan keperluan terjejas,” ujar beliau.

Pihak kementerian, tambah Azman, akan terus meningkatkan pemantauan ke atas kedudukan bekalan keperluan di seluruh Negara.

Ia melalui pemeriksaan ke atas Dedicated Distributor Manufacturer (DDM), Dedicated Distributor Wholesaler (DDW) dan Dedicated Distributor Retailer (DDR) yang telah dilantik selain di premis-premis lain. — DayakDaily