KUCHING, 15 Nov: Sejumlah RM11.6 juta nilai rampasan dicatatkan berkaitan pakaian tiruan sejak 2018 hingga sekarang.
Ketua Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Azman Adam berkata, jumlah tersebut melibatkan sebanyak 526 kes.
“Justeru, KPDNHEP akan melaksanakan pemantauan ke atas penjualan jersi tiruan di seluruh Negara bersempena kejohanan bola sepak Piala Dunia FIFA 2022,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Azman, tindakan penguatkuasaan melibatkan pelbagai jenis barangan lain juga dijalankan.
Antaranya melibatkan makanan dan minuman, kosmetik, bahan petroleum, barang elektrik, alat ganti kenderaan, alat komunikasi, perkakasan komputer dan sebagainya.
KPDNHEP katanya sentiasa menjalinkan kerjasama dengan pemilik cap dagang berdaftar.
“Ini bagi memastikan setiap aduan dan tindakan penguatkuasaan yang diambil di bawah Akta Cap Dagangan 2019 dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan termasuklah aktiviti penjualan barang tiruan yang dilakukan secara dalam talian (online).
“Mana-mana orang yang didapati melakukan kesalahan dengan menjalankan aktiviti penjualan barangan tiruan boleh diambil tindakan dan disiasat di bawah Akta Cap Dagangan 2019,” ujar Azman. — DayakDaily