Harga runcit minyak sawit tulen kemasan botol kekal

Seorang pegawai penguatkuasa KPDN memeriksa barang kawalan minyak masak dalam foto fail ini.

KUCHING, 3 Jan: Harga maksimum minyak masak sawit tulen kemasan botol bagi tempoh 8 Jan hingga 7 Feb kekal seperti tempoh sebelumnya.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, ia kekal walaupun harga purata Minyak Sawit Mentah (CPO) di pasaran dunia mengalami peningkatan pada bulan Disember 2022.

“Kerajaan ingin mengucapkan terima kasih kepada pemain industri pengeluar minyak masak sawit tulen melalui libat-urus yang dijalankan telah bersetuju mengekalkan harga runcit minyak masak sawit tulen kemasan botol pada harga sedia ada.

“Ini sebagai usaha bersama untuk membantu rakyat mengurangkan kos sara hidup,” katanya dalam kenyataan hari ini.

KPDN telah menetapkan Harga Runcit Maksimum terkini bagi minyak masak sawit tulen kemasan botol di bawah Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penentuan Harga Maksimum Bagi Minyak Masak) 2022.

Kata Salahuddin, kawalan harga ini dilaksanakan mengikut kaedah harga siling bergerak berdasarkan purata harga minyak sawit mentah dunia.

Harga Runcit Maksimum bagi minyak masak sawit tulen kemasan botol 1kg ialah RM6. 90, 2kg (RM13. 30), 3kg (RM19. 60) dan 5 kg (RM30. 90). — DayakDaily