Dr Jerip cadang tambahan 8 jawatan ketua masyarakat Daerah Siburan

Abang Johari (empat kanan) menyampaikan Samsung Tab kepada salah seorang murid. Turut kelihatan Dr Jerip (tiga dari kanan).

SIBURAN, 15 Nov: Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Dr Jerip Susil mencadangkan tambahan 8 jawatan baharu ketua masyarakat bagi Pusat Pentadbiran Daerah Siburan.

Katanya, ia melibatkan tambahan 1 jawatan Pemanca Bidayuh, 1 jawatan Pemanca Cina, 5 jawatan Penghulu (Bidayuh, Melayu, Cina) dan juga 1 jawatan Temenggong Melayu untuk Bahagian Serian.

“Saya juga memohon dipertimbangkan penyediaan tapak bagi menempatkan pelbagai agensi Kerajaan.


“Kuarters baharu untuk kakitangan awam serta rumah Ibadat seperti masjid, gereja, tokong dan lain-lain,” katanya.

Dr Jerip berkata demikian dalam ucapan aluan di Majlis Perasmian Kompleks Sukan SJK Chung Hua Siburan yang disempurnakan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Tambah beliau yang juga Adun Mambong, kesemua cadangan itu penting bagi merancakkan pentadbiran dan pembangunan di Daerah Siburan.

Katanya, ia sejajar dengan status barunya sebagai Daerah Penuh.

Dr Jerip turut memohon agar Kerajaan menaiktaraf Dewan Siburan dengan peruntukan RM5.5 juta.

Kerajaan Sarawak memperuntukan RM2.1 juta melalui Lembaga Sekolah Jenis Kebangsaan Chung Hua Siburan pada 3 September 2020 bagi membina kemudahan sukan seperti grandstand dan running track.

Projek Kompleks Sukan SJK Chung Hua Siburan siap sepenuhnya pada April 2022.

Di majlis tersebut, Abang Johari telah menyampaikan 30 unit Samsung Tab kepada murid-murid SJK Chung Hua Siburan sumbangan Sarawak Multimedia Authority (SMA). — DayakDaily