KPDNHEP menjelas situasi mengenai bekalan, harga bawang

Datuk Seri Alexander Nanta Linggi

KUCHING, 23 Nov: Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi hari ini menjelaskan bahawa pengimportan bawang adalah di bawah seliaan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi).

Tambah beliau, KPDNHEP bertindak untuk memastikan tidak ada elemen pencatutan atau tindakan menaikkan harga secara tidak munasabah berlaku dalam pasaran termasuk bekalan bawang.

“KPDNHEP mengambil maklum berkenaan rungutan sebilangan pengguna berkenaan isu bekalan dan harga bawang baru-baru ini.

“Untuk pengetahuan umum, bekalan bawang di Malaysia diimport dari 29 buah negara dimana lima negara merupakan pengeksport terbesar iaitu India (36 peratus), Pakistan (23 peratus), China (19 peratus), Belanda (9 peratus) dan Thailand (7 peratus).

“Daripada jumlah ini, India merekodkan jumlah pengimportan bawang sebanyak 149,539,411kg. Jumlah besar ini berdasarkan minat dan cita rasa rakyat Malaysia,” jelas Nanta dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau juga memberitahu bahawa terdapat lapan jenis bawang yang diimport ke Malaysia iaitu Bawang Kecil Merah Import (India), Bawang Besar Import (India), Bawang Merah Import (China), Bawang Kecil Merah Import (China), Bawang kecil Merah Rose (Import), Bawang Kecil Merah Import (Myanmar), Bawang Kecil Merah (Thailand) dan Bawang Besar Kuning (Belanda).

“Malaysia mengimport bawang dari pelbagai negara sebagai salah satu strategi yang berkesan untuk memastikan bekalan sentiasa mencukupi dan Malaysia tidak bergantung kepada sesebuah negara sahaja.

“Ini kerana, jika sesebuah negara tersebut mengalami bencana alam seperti kemarau, banjir, gempa bumi dan tanah runtuh, atau melaksanakan sekatan ekonomi, maka kita tidak akan terancam dan bekalan bawang tidak terganggu walaupun harga mungkin akan menerima impaknya,” kata Nanta.

Nanta yang juga Ahli Parliamen Kapit berkata, pada 14 September 2020, kerajaan India telah mengeluarkan arahan larangan eksport ke atas semua jenis bawang kecuali jenis ‘Bangalore Rose’ dan ‘Krishnapuram’.

“Langkah ini bertujuan untuk menampung keperluan domestik di negara mereka ekoran bencana banjir yang berlaku pada bulan Julai 2020.

“Berikutan itu, sebanyak 121 syarikat pengimport telah mula meningkatkan jumlah pengimportan bekalan bawang dari negara seperti Pakistan, China, Belanda dan Thailand,” jelas Nanta.

Beliau menambah, harga bawang adalah sama seperti harga barangan lain yang bergantung kepada bekalan dan permintaan.

“Jika bekalan kurang dan permintaan tinggi, maka harga akan naik. Inilah yang juga sedang berlaku kepada bawang India dan sedikit sebanyak mempengaruhi keseluruhan bekalan bawang kecuali beberapa jenis bawang seperti bawang Belanda,” tambah Nanta lagi.

Nanta juga menegaskan pasukan penguatkuasa KPDNHEP akan terus melakukan pemeriksaan dan pemantauan berhubung perkara ini di semua peringkat termasuk pembekal, pemborong dan peruncit.

“Pihak kementerian tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan jika terbukti ada kes dan akan melaksanakan harga kawalan yang dalam bidang kuasa kementerian seperti termaktub dalam Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penentuan Harga Maksimum) (No. 2) (Pindaan) 2020 jika keadaan mendesak dan memerlukan,” tambah beliau.

Justeru, KPDNHEP berharap para pengguna dapat memuat turun aplikasi Price Catcher yang membolehkan pengguna memeriksa harga barang melalui aplikasi tersebut dan carilah kedai yang berdekatan untuk mendapatkan harga barang yang terbaik. Bawang tidak terkecuali.

KPDNHEP amat menghargai maklum balas daripada pengguna agar tindakan segera dapat diambil.

Aduan boleh disalurkan kepada KPDNHEP melalui pelbagai saluran yang disediakan seperti portal e-aduan@kpdnhep.gov.my; pusat panggilan di 1800 886 800; emel kepada e-aduan@kpdnhep.gov.my; aplikasi telefon pintar Ez ADU; Enforcement Command Centre (ECC) di talian 03-8882 6245 / 6088 dan talian 03-8000 8000 Malaysia Government Call Centre (MYGCC ). — DayakDaily