KPDNHEP menggiatkan aktiviti penguatkuasaan dan pemantauan di luar bandar

Azman (kanan) ketika melakukan pemantauan di sebuah premis di Raub, Pahang.
Advertisement

KUCHING, 30 Jan: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan sentiasa melakukan penguatkuasaan dan pemantauan di kawasan luar bandar.

Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP Azman Adam berkata, kementerian tidak mengabaikan aktiviti penguatkuasaan dan pemantauan meskipun jumlah masyarakat dan bilangan premis di kawasan tersebut tidak tinggi berbanding di kawasan bandar.

“KPDNHEP menyedari kawasan luar bandar juga perlu diberikan keutamaan di dalam melakukan pemantauan.

Advertisement

“Pemantauan melibatkan pelbagai jenis premis termasuklah kedaikedai runcit, pasar pagi, pasar awam, pasaraya, kedai serbaneka dan sebagainya.

“Ini bagi memastikan masyarakat luar bandar juga dapat menikmati bekalan keperluan asas seperti gula, tepung gandum, minyak masak, LPG dan sebagainya pada harga yang munasabah dan mudah diperolehi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Azman, jarak perjalanan yang jauh dengan keadaan geografi dan akses untuk memasuki kawasan luar bandar tertentu yang sukar antara faktor yang menyebabkan bekalan keperluan asas di kawasan luar bandar ini kadangkala mengalami gangguan dan sebagainya.

Selain itu katanya, penguatkuasaan dan pemantauan berterusan di kawasan luar bandar ini juga amat penting bagi memastikan peniaga-peniaga di kawasan luar bandar ini juga mematuhi semua perundangan yang telah dikuatkuasakan.

“Ini termasuklah isu-isu berkaitan harga, tanda harga, alat timbang dan sukat juga barang kawalan dan subsidi selain memastikan penyelewengan barang kawalan dan subsidi juga tidak berlaku di kawasan luar bandar ini,” ujar beliau.

Pada tahun 2020 , sebanyak 692,906 premis telah diperiksa dan daripada jumlah itu sebanyak 136,922 premis yang diperiksa adalah di kawasan luar bandar.

Pada tahun 2021 pula sebanyak 865,086 premis telah diperiksa dan daripada jumlah itu 148,430 (17 peratus) premis adalah di kawasan luar bandar.

Manakala pada tahun ini iaitu sehingga 28 Januari 2022, sebanyak 80,465 pemeriksaan telah direkodkan di seluruh Negara dan daripada itu, sebanyak 12,834 premis (19 peratus) adalah di kawasan luar bandar. — DayakDaily

 

Advertisement