KPDNHEP lancar skim harga maksimum perayaan Krismas

Alexander (tengah) memegang tanda harga merah jambu sebagi simbolik pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Krismas 2020.

Oleh: Cornelius Kadir Edison

PUTRAJAYA, 18 Dis: Skim Harga Maksimum Musim perayaan Krismas 2020 bagi 19 barangan harga terkawal akan berkuatkuasa pada 22 hingga 31 Disember ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata skim itu dilaksanakan selama sembilan hari iaitu tiga hari sebelum perayaan dan enam hari selepas perayaan.

Beliau berkata skim itu dilaksanakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutab (AKHAP) 2011.

Katanya, penentuan harga maksimum pengeluar, borong dan runcit dibuat mengikut kewajaran dan kesesuaian dengan tren harga semasa sebagai langkah untuk menyekat kenaikan harga barang keperluan pada ketika perayaan terbabit dan sekaligus dapat memastikan harga berpatutan dalam rantaian pengedaran bagi manfaat pengguna dan peniaga di seluruh negara.

Barangan SKHMMP Krismas 2020 ialah ayam hidup, ayam standard, ayam super, ayam belanda import, telur ayam Gred A B dan C, daging kambing tempatan bertulang, daging kambing biri-biri import bertulang, ubi kentang import (China), lobak merah, kobis bulat import (Indonesia dan China tidak termasuk kubis Beijing), tomato, lada benggala hijau, ayam tua (dikawal di Sarawak sahaja), kepak ayam,
babi hidup di peringkat ladang (dikawal di Sarawak dan Sabah sahaja), daging babi(perut-dikawal di Sarawak dan Sabah sahaja) dan daging babi (daging dan lemak- dikawal di Sarawak dan Sabah sahaja).

Alexander berkata peniaga diwajibkan untuk menjual barangan terkawal terbabit tidak melebihi harga yang ditetapkan selain perlu meletakan tanda harga berwarna merah jambu bagi membezakannya dengan barangan lain.

“Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna akan berada di lokasi-lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai membeli-belah seperti pasar awam, pasar tani dan pasaraya untuk menjalankan pemeriksaan dan pemantauan.

“Langkah-langkah ini mencerminkan usaha berterusan bagi melindungi pengguna daripada aktiviti pengambilan keuntungan yang berlebihan oleh peniaga-peniaga yang tidak beretika semasa musim perayaan,”katanya.

Beliau turut mengingatkan tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan skim berkenaan.

“Tindakan boleh dikenakan terhadap individu ialah penalti oleh mahkamah sehingga RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000 dan bagi syarikat pula, boleh dikenakan penalti oleh mahkamah sehingga RM500,000 atau kompaun sehingga RM250,000.

“Individu yang melakukan kesalahan gagal meletakkan tanda harga merah jambu bagi barang harga terkawal, boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM10,000 atau kompaun sehingga RM5,000, manakala Syarikat yang melakukan kesalahan sama pula boleh didenda sehingga RM20,000 atau dikompaun hingga RM10,000,” katanya.

Sementara itu, Alexander berkata sebanyak 70,869 aduan diterima oleh KPDNHEP sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan sejak 18 Mac lalu hingga semalam (17 Dis) dengan 5,142 adalah berkaitan harga barangan.

Katanya, sepanjang tempoh sama sebanyak 214,760 premis peniagaan telah diperiksa melibatkan pemeriksaan di peringkat peruncit, pemborong dan pengilang.

“Daripada pemeriksaan tersebut, 4,743 notis di bawah Seksyen 21 AKHAP 2011 telah di keluarkan kepada peniaga yang didapati membuat kenaikan harga barangan keperluan dan melakukan pencatutan.

“Selain itu, hasil pemantaun harian di seluruh negara semalam (17 Dis) di peringkat peruncitan dan pemborong turut mendapati 98 peratus keberadaab bekalan bawang di pasaran.

“Sesi libat urus dengan pelbagai agensi khususnya Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) untuk mendapatkan maklumat lanjut berhubung bekalan import bagi barangan tersebut dan mengesan sama ada berlakunya pengurangan jumlah import dan sebagainya,” katanya. — DayakDaily