Bekalan ayam dan telur di Sarawak mencukupi sepanjang Ramadan, Aidilfitri dan Gawai

Kelihatan Nanta (kanan) semasa sidang media di Kuching.

KUCHING, 3 April: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi jaminan bahawa bekalan ayam dan telur di sepanjang Bulan Ramadan, Hari Raya Aidilfitri dan Hari Gawai Dayak mencukupi di Sarawak.

Menteri Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, jaminan diberi pengeluar daging ayam dan telur terbesar di negeri ini iaitu syarikat CCK .

“Kita difahamkan bahawa di dalam tempoh ini memang akan cukup bekalan ayam dan telur di Sarawak.


“Manakala harganya kita akan kawal dan tidak seharusnya lebih daripada harga maksima yang ditetapkan kementerian,” katanya pada satu sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu Nanta hadir bagi Sesi Walkabout Pelancaran Ops Pantau 2022 dan Nombor Aduan Tambahan Sempena Bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri di CCK Local, Pusat Komersial City Mall.

Beliau juga memaklumkan bahawa bekalan tersebut turut mencukupi di seluruh negara hasil pemantauan dan sesi libat urus bersama penternak-penternak ayam.

Berhubung pembukaan sempadan negara yang bermula Jumaat (1 April) lepas, Nanta yang juga MP Kapit yakin ini membantu merancakan ekonomi negara.

“Dengan kemasukan pelawat-pelawat ini, kita yakin permintaan kepada barang keperluan harian akan meningkat.

“Kementerian sejak beberapa minggu yang lalu telah memohon kepada peniaga agar tidak dengan sewenang-wenangnya menaikan harga barangan.

“Kementerian akan sentiasa melakukan pemantauan harga barang dari semasa ke semasa,” ujar beliau. — DayakDaily