KPDNHEP: Enam peniaga dikenakan tindakan atas kesalahan gagal pamer tanda harga dan jualan barangan kawalan

A stock image of a customer checking out at the cashier. Photo credit: Pixabay

KUCHING, April 28: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sarawak telah mengambil enam tindakan terhadap peniaga yang tidak mempamerkan tanda harga dan penjualan barang kawalan di Kuching, Sibu, Limbang, Miri dan Mukah.

KPDNHEP Sarawak menerusi kenyataan hari ini berkata, dua premis kedai runcit di Kuching telah dikenakan tindakan semalam.

“Hasil daripada pemeriksaan mendapati tiada tanda harga dipamerkan di premis tersebut dan disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Perintah Kawalan Harga (Penandaan Harga Oleh Penjual Runcit) 1993 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 dan telah di kompaun serta-merta sebanyak RM2,000,” menurut kenyataan itu.


Manakala di Sibu, KPDNHEP Sarawak melaporkan telah mengenakan kompaun terhadap sebuah premis perniagaan kerana menjual gula pasir paket 1kg melebihi harga kawalan yang telah diwartakan oleh kerajaan.

Premis tersebut disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 11, AKHAP 2011 dan telah dikompaun serta merta sebanyak RM5,000.

“Di cawangan KPDNHEP Limbang, Miri dan Mukah, terdapat tiga kes tindakan kompaun serta-merta berjumlah RM3,000 (RM1,000 bagi setiap kes) di premis cawangan masing-masing bagi kesalahan yang sama iaitu gagal mempamerkan tanda harga pada barangan,” menurut kementerian itu.

Untuk statistik bagi 1 Januari sehingga 28 April 2020, KPDNHEP Sarawak telah melaksanakan pemeriksaan terhadap 15,593 premis perniagaan di bandar dan luar bandar.

Dalam tempoh tersebut, sebanyak 405 kes dengan nilai rampasan sebanyak RM2,443,198.88 dan jumlah kompaun sebanyak RM83,650 telah direkodkan.

Manakala di sepanjang tempoh PKP dari 18 Mac hingga 28 April 2020, KPDNHEP Sarawak merekodkan sebanyak 31 kes dengan nilai rampasan sebanyak RM34,078.35 dan nilai kompaun sebanyak RM13,350. — DayakDaily