KPDNHEP ambil tindakan terhadap pemilik premis benarkan aktiviti haram

Image by 955169 from Pixabay

KUCHING, 25 OGOS: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna(KPDNHEP) akan menguatkuasakan undang-undang kepada pemilik premis atau bangunan yang membenarkan aktiviti penjualan barang tiruan dan cetak rompak dijalankan di premis seliaan atau milik mereka.

Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP Datuk Iskandar Halim berkata, ini sebagai memberi peringatan dan amaran kepada mereka supaya melarang premis mereka daripada digunakan sebagai premis yang menjalankan aktiviti perniagaan yang melanggar undang-undang.

“Kaedah ini akan membolehkan penurunan dan pengurangan penjualan barangan tiruan atau cetak rompak secara terbuka di pasaran fizikal.

“Pemilik premis atau bangunan yang membenarkan premis mereka digunakan oleh penjual barangan tiruan atau cetak rompak, boleh diambil tindakan penguatkuasaan di bawah ACD 2019 atau AHC 1987,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Menurut Iskandar, KPDNHEP juga akan mengambil tindakan tegas dengan menggunakan peruntukan kesalahan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

Katanya, ini membolehkan kesemua akaun milik pesalah atau suspek dibekukan dan dilucuthak jika didapati menjual barangan tiruan atau cetak rompak.

Jelas beliau lagi, peruntukan kesalahan ini juga turut terpakai kepada mana-mana pemilik premis perniagaan atau bangunan yang menyediakan atau menyewakan premis mereka kepada individu atau peniaga yang menjual barangan tiruan atau cetak rompak kerana bersubahat dan bekerjasama dengan peniaga terbabit.

“Tindakan ini dilaksanakan dengan memperluaskan skop siasatan terhadap pemilik premis yang menyewakan premis mereka bagi tujuan urusniaga aktiviti haram tersebut.

“Ini secara langsung memberikan kesan pengajaran kepada pemilik premis supaya mengambil tahu tentang aktiviti di premis yang disewakan dan supaya tidak membenarkan premis mereka dijadikan tempat aktiviti haram seperti penjualan barangan tiruan.

“Hasil sewaan tersebut boleh dilucuthak dan dijadikan hasil Kerajaan di bawah AMLATFPUAA,” ujar Iskandar.

Setakat ini tambah beliau, KPDNHEP telah menyerahkan notis peringatan kepada pemilik premis atau bangunan di pusat membeli-belah terkenal di sekitar bandaraya besar seperti Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Johor Bahru.—DayakDaily