KPDN Sri Aman serbu stor penyelewengan diesel bersubsidi, anggaran rampasan setinggi RM330k

Lokasi yang dijadikan stor penyimpanan minyak diesel bersubsidi.

SRI AMAN, 18 Okt: Sebuah stor haram yang dijadikan tempat penyimpanan diesel bersubsidi diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sri Aman semalam.

Aktiviti sindiket penyelewengan diesel bersubsidi tu yang dilakukan di kawasan terpencil terbongkar hasil siasatan dan risikan oleh pasukan penguat kuasa KPDN sejak beberapa minggu lalu.

Timbalan Ketua Pegawai Penguatkuasa Daerah KPDN Sri Aman, Dorcas Sidi berkata, pihaknya melancarkan serban Op Tiris pada jam 7.00 pagi dan menahan dua lelaki tempatan berusia lingkungan 30 hingga 50-an.


Pemeriksaan dilakukan oleh Pegawai Peguatkuasa KPDN Sri Aman.

“Dalam serbuan itu, KPDN menemui 36,500 liter diesel dan beberapa peralatan yang digunakan untuk kegiatan penyelewengan minyak diesel.

“Turut ditemui sebuah lori tangki, dua buah lori jenis Prime Mover, tangki simpanan kapasiti 1,000 liter sebanyak 36 unit, pam bermotor dan paip penyambung.

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM330,875.00,”‘ katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, seorang lelaki yang disyaki sebagai pemilik lori dan seorang lagi disyaki sebagai pemilik minyak diesel tersebut ditahan bagi membantu siasatan.

“Berdasarkan maklumat risikan yang dijalankan pegawai Penguatkuasa KPDN Sri Aman, sindiket dikatakan menggunakan dua buah lori Prime Mover bagi membeli diesel bersubsidi di stesen minyak sekitar Sri Aman.

“Diesel berkenaan kemudiannya akan dibawa ke stor haram itu untuk diletakkan ke dalam tangki simpanan sebelum dipindahkan semula ke sebuah lori tangki lain dan dijual semula kepada pihak ketiga,” katanya.

Tambahnya, kertas siasatan telah dibuka di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122).

“Siasatan dijalankan untuk mengenalpasti individu atau syarikat yang terbabit dalam aktiviti berkenaan serta rangkaian pengedaran diesel,” katanya. — DayakDaily