Kongres Bahasa Kebangsaan di Kuching pada Februari 2020

Arun(duduk lima kiri) pada sidang media di Kuching. Turut kelihatan Phun (empat kiri) dan Ng (kiri).

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 21 Jan: Gabungan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan menganjurkan Kongres Bahasa Kebangsaan di Kuching pada bulan Februari 2020.

Setiausaha Gabungan Seni Khat Action Team (Sekat), Arun Doraisamy berkata penganjuran kongres tersebut bertujuan untuk memperkasakan bahasa kebangsaan.


“Kongres dianjurkan untuk memberi pendedahan yang lebih menyeluruh berhubung bahasa kebangsaan dan setiap rakyat Malaysia ada tanggungjawab untuk memperkasakannya.

“Kita tidak boleh mengabaikan bahasa kebangsaan kerana ia adalah bahasa perpaduan kita,” katanya pada sidang media di Kuching hari ini.

Terdahulu Arun telah mengadakan mesyuarat bersama wakil-wakil dari sembilan NGO Sarawak dan Semenanjung Malaysia.

Mesyuarat turut membincangkan isu pelaksanaan pengajaran tulisan jawi khat Sukatan Pelajaran Tahun 4 Bahasa Malaysia di sekolah-sekolah vernakular dan kerajaan.

Pada sidang media yang sama, wakil dari Majlis Bahasa Cina Malaysia, Phun Teck Seng berkata Kuching dipilih atas alasan perpaduan erat masyarakat berbilang kaum di negeri ini.

“Seluruh Malaysia dapat belajar tentang keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di Sarawak.

“Sebab itu kita telah memilih Kuching untuk penganjuran Kongres Bahasa Kebangsaan,” ujar Phun.

Dalam pada itu, Presiden Sarawak Asssocation for Peoples’ Aspiration Dominique Ng mengalu-alukan usaha Sekat membawa Kongres Bahasa Kebangsaan di Kuching.

Katanya, isu pelaksanaan pengajaran tulisan jawi khat turut memberi impak kepada Sarawak dan Sabah.

“Dengan penganjuran kongres itu di Bumi Kenyalang, ia akan memberi gambaran dan pemahaman lebih jelas tentang Sarawak.

“Jangan hanya semata-mata hendak membawa polisi kebangsaan ke Sarawak tanpa mengambil kira pandangan pemimpin dan rakyat Sarawak.

“Kongres ini nanti akan mengangkat suara Sarawak dan itulah hasrat kita,” ujar Ng.

Mesyuarat turut dihadiri Peter John yang mewakili Dayak Right Action Force dan Datuk Vincent Lau (Presiden DongZong Sarawak).

Tarikh penganjuran Kongres Bahasa Kebangsaan pada bulan Februari ini akan diumumkan pada masa terdekat.—DayakDaily.