KKR lancar Program ‘Solar Energy Purchasing 2’

Dato Sri Fadillah Yusof

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 16 Mac: Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusuf hari ini melancarkan Program Solar Energy Purchasing 2(SEP) untuk Bangunan Kementerian Kerja Raya(KKR) dan Jabatan Kerja Raya(JKR) Malaysia.

Menurut Fadillah, Program SEP adalah satu bentuk inisiatif dimana pemilik bangunan atau pengguna boleh menikmati ‘zero upfront cost’ dan ‘zero capex’.


Katanya, pemilik bangunan atau pengguna tidak perlu mengeluarkan sebarang kos bagi pemasangan Sistem Solar Photovoltaic(PV) melalui
satu mekanisme penyewaan di bawah perjanjian Supply Agreement for Renewable Energy(SARE).

“Ia dibuat atas konsep pembayaran bil bulanan dengan tarif khas bagi penjanaan tenaga elektrik daripada sistem solar dan akan tercatat dalam bil TNB bulanan.

“Dengan tarif penjanaan tenaga elektrik daripada sistem solar yang lebih rendah daripada tarif TNB semasa, ini akan memberikan manfaat dari segi penjimatan bil elektrik bulanan kepada pemilik bangunan,” katanya pada majlis yang diadakan secara maya.

Tambah Fadillah, pelaksanaan program adalah selaras dengan Skim Pemeteran Tenaga Bersih(NEM) yang telah diperkenalkan Kerajaan bagi
menggalakkan penggunaan Tenaga Boleh Diperbaharui di Malaysia disamping menjimatkan bil elektrik pengguna.

Ujar beliau, JKR Malaysia telah lebih 17 tahun terlibat dalam teknologi sistem solar bagi projek-projek pembangunan Kerajaan
khususnya bagi program Bekalan Elektrik untuk sekolah-sekolah luar bandar seluruh Malaysia.

“Manakala melalui Program SEP ini, ia dilihat sebagai usaha Kementerian ini dalam menyokong Dasar Teknologi Hijau Negara.

“Ini bagi meningkatkan kapasiti Tenaga Boleh Diperbaharui sehingga 20 peratus daripada kapasiti keseluruhan penjanaan tenaga elektrik pada tahun 2025.

“Secara tidak langsung dapat mengurangkan pelepasan karbon daripada sektor bangunan Kerajaan dan menghasilkan bangunan Kerajaan yang cekap tenaga,” ujar Fadillah.

Tambah Fadillah lagi, Program SEP mensasarkan penjimatan tenaga sehingga RM9.27 juta bagi tempoh perjanjian selama 21 tahun di mana
penjimatan tahun pertama dianggarkan sebanyak RM197,548.

Ini adalah merupakan penjimatan segera yang akan dinikmati oleh pihak KKR dan JKR Malaysia tanpa mengeluarkan sebarang kos pemasangan dan kos penyelenggaraan disamping dapat mengurangkan perbelanjaan kos bayaran utiliti bulanan.

“Penjanaan tenaga daripada sumber sistem solar yang mesra alam ini dijangka dapat menghasilkan 1,400 MegaWatt hour (MWh) setahun
bersamaan pengurangan pelepasan karbon sebanyak 819 tan CO2 setahun,” katanya. – DayakDaily