KKR akan membina semula 51 sekolah rendah daif, usang tahun ini

Datuk Seri Fadillah Yusof (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan kerusi roda kepada wakil Klinik Kesihatan Petra Jaya di majlis penutupan Program Lestari Modal Insan Koperasi dan Bicara Ilmu "Transformasi Perniagaan Melalui Platform Digital: Potensi dan Peluang".

KUCHING, Jan 31: Kementerian Kerja Raya (KKR) akan menguruskan pembinaan semula sebanyak 51 sekolah rendah yang daif dan usang di negeri ini yang merangkumi 30 peratus dari keseluruhan sebanyak 180 sekolah terbabit yang akan dinaiktaraf bagi fasa pertama tahun ini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata demikian berikutan Kementerian Kewangan sudah meluluskan peruntukan membina semula keseluruhannya sebanyak 180 sekolah terbabit di negeri ini dengan Kementerian Pendidikan akan menguruskan sebahagian besar atau sehingga 70 peratus dari keseluruhan sekolah itu.

“Bagi pembinaan 30 peratus sekolah terbabit yang akan diuruskan KKR, kami sudah menyerahkannya kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak bagi memilih kontraktor pembinaan dan pengeluar bagi Sistem Binaan Berindustri (IBS). Diharapkan pertengahan Febuari depan proses mengeluarkan tender dan pelantikan kontraktornya akan selesai dan penghujung Febuari depan mereka akan memulakan kerja pembinaan,” katanya selepas merasmikan Majlis Penutupan Program Lestari Modal Insan Koperasi dan Bicara Ilmu “Transformasi Perniagaan Melalui Platform Digital: Potensi dan Peluang” anjuran Maktab Koperasi Malaysia Zon Sarawak di Dewan Hikmah, Petra Jaya, di sini, semalam.


Fadillah berkata KKR memberikan kontraktor terbabit tempoh selama tiga bulan bagi menyiapkan bangunan sekolah baharu mengunakan IBS merangkumi bangunan enam atau lapan bilik darjah, bangunan bilik makmal dan bangunan asrama pelajar.

Beliau berkata sebanyak 30 peratus atau 51 sekolah terbabit dibina semula dibawah KKR bagi fasa pertama tahun ini ialah sebanyak enam sekolah di Limbang iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Limpaki,SK Gadong, SK Kuala Medalam, SK Kuala Penganan, SK Ukong dan SK Kubong manakala lima sekolah terbabit di Mas Gading iaitu SK Sebobok, SK Stass, SK Tembawang, SK Serabak dan SK Sebiris.

Sebanyak lapan sekolah terbabit di Lubok Antu iaitu SK Melaban, SK Ijok, SK Skarok, SK Basi, SK Nanga Kumpang, SK Tengin/Sedarat, SK Ridan, SK Sbangki manakala lima sekolah itu di Puncak Borneo iaitu SK Gumbang, SK Sedaun Bawah, SK Podam, SK Sungai Pinang dan SK Sungai Semeran serta empat sekolah terbabit di Sarikei iaitu SK Ulu Strass, SK Sg Petai, SK Rentap dan SK Tanah Putih.

Sebanyak empat sekolah terbabit di Julau/Sibu/Lanang iaitu SK Sungai Putih, SK Assun, SK Ng Tutus dan SK Ulu Sungai Salim manakala tiga sekolah itu di Selangau/ Kanowit iaitu SK Sungai Sedaun, SK Rantau Kemiding, SK Ng Lipus serta tiga sekolah terbabit di Mukah iaitu SK Kampung Teh, SK Kg Teh, SK Sg Kut Tengah.

Di Igan dan Tanjung Manis pula ada tiga sekolah terbabit iaitu SK Kg Pangtray, SK Ulu Daro dan SK St Andrew manakala di Miri/Baram/ Lawas ada enam sekolah terbabit iaitu SK Pujut Corner, SK Sungai Bong, SJK@Hua Kwong, SK Merapok, SK Punang dan SK Siang Siang serta empat sekolah itu di Bintulu/Sibuti iaitu SK Sg Manong, SK Kuala Nyalau, SK Kelapa Sawit No.5 dan SK Kelapa Sawit No.2.

“Selepas itu, baharulah fasa kedua projek terbabit akan bermula kerana sepanjang 2018 Kementerian Pendidikan mensasarkan membina semula sebanyak 400 sekolah usang di seluruh negeri ini dengan peruntukan sebanyak RM500 juta dari kerajaan,” katanya

Beliau berkata sebanyak RM500 juta lagi akan diperuntukan kerajaan bagi membina semula sekolah usang bagi tahun hadapan kerana sebelum ini kerajaan telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM1 bilion bagi membina semula semua sekolah usang seluruh negeri ini. — DayakDaily