Dua beranak yang maut dalam nahas bas langgar lori dikebumikan dalam satu liang lahad

Upacara pengebumian dua beranak di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kolong 1, hari ini.

KUCHING, Jan 31: Jenazah dua beranak yang maut dalam nahas jalan raya di Kilometer 12, Jalan Pesisir Bintulu-Miri semalam selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kolong 1 di sini pada pukul 11.25 pagi, hari ini.

Terdahulu, jenazah Ramnelan Samat, 55, dan anaknya, Nurnadia Syakila Remnelan, 9, yang dibawa dari Hospital Bintulu tiba di Kampung Kolong 1, Matang di sini kira-kira pukul 9 pagi.

Lebih 200 ahli keluarga, sanak saudara dan penduduk kampung memenuhi kawasan perkuburan itu bagi memberi penghormatan terakhir kepada kedua-dua mangsa.


DayakDaily semalam melaporkan tiga maut termasuk dua murid sekolah selepas bas yang dinaiki mereka melanggar sebuah lori di KM 12, Jalan Pesisir Bintulu di sini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.10 pagi itu, mangsa yang meninggal dunia ialah pemandu bas, Ramnelan, anaknya Nurnadia Syakila, dan seorang lagi murid, Aien Laila Aliesha, 11.

Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada pukul 6.12 pagi.

Katanya, sejurus menerima laporan insiden, 17 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu dan BBP Samalaju dikerahkan ke lokasi kejadian.

Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati kemalangan itu membabitkan sebuah bas sekolah dan lori membawa muatan besi.

Keadaan cermin depan bas sekolah tersebut juga didapati pecah akibat rempuhan kuat itu. Pemeriksaan lanjut mendapati pemandu bas itu sudah meninggal dunia dalam keadaan tersepit. — DayakDaily