Ketua kaum, ketua masyarakat di Kuching disaran berusaha menyampaikan isu, permintaan kepada KM

Awang Yusup (tiga dari kiri) bersama ketua masyarakat dan ketua kaum yang menghadiri Majlis Amanat Pegawai Daerah Kuching Bersama Ketua Masyarakat/ Ketua Kaum Melayu Bahagian Kuching.

KUCHING, Feb 28: Pejabat Daerah Kuching menyarankan ketua kaum dan ketua masyarakat kaum Melayu di bahagian Kuching untuk berusaha menyampaikan segala masalah dan permintaan masyarakat kaum tersebut terus kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Pegawai Daerah Kuching Awang Yusup Awang Mostapha berkata demikian kerana Abang Johari ketika ini merupakan wakil rakyat mereka dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Satok di bandaraya ini dan sepatutnya lebih mudah bagi ketua kaum dan ketua masyarakat di bahagian Kuching bertemu dengannya.

“Sampaikanlah (segala masalah dan permintaan masyarakat kaum Melayu di Kuching); kalau perlu berjumpa dengan Ketua Menteri secara rasmi, mintalah kebenaran dari pembantu peribadinya. Kalau Ketua Menteri ada mengadakan sembahyang beramai-ramai di rumahnya, mintalah (kebenaran dari pembantu peribadinya) untuk ikut serta sembahyang itu bagi bertemunya,” katanya ketika menghadiri Majlis Amanat Pegawai Daerah Kuching Bersama Ketua Masyarakat/ Ketua Kaum Melayu Bahagian Kuching di sini, semalam.


Majlis terbabit juga dihadiri Pengerusi Persatuan Ketua Ketua Masyarakat Melayu Bahagian Kuching Pemanca Roshidi Junai dan Penolong Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Kuching Suraijah Zainol.

Awang Yusup berkata ini penting kerana pihaknya tidak mahu ada sebarang masalah atau permintaan masyarakat kaum Melayu di bahagian Kuching masih belum diketahui Ketua Menteri disebabkan tiada siapa tampil menyuarakan kepadanya atau kerajaan negeri.

“Malahan ada antara kita di sini adalah penghulu dan ketua kaum di kawasan DUN Satok yang ketika ini diwakili Ketua Menteri; tidak patut mereka ini tidak dapat membantu kita membisikkan masalah dan permintaan terbabit ke telinga Ketua Menteri,” katanya.

Pihaknya khuatir sekiranya masalah dan permintaan terbabit gagal didedahkan segera kepada Ketua Menteri atau kepada Pejabat Daerah Kuching dan Pejabat Residen Kuching, ianya mungkin menyebabkan masyarakat kaum Melayu menyalurkan masalah dan permintaan terbabit melalui media tempatan.

Awang Yusup berkata ini seperti kes penduduk yang terpaksa mendirikan rumah mereka di tepi jalan yang berlaku di kawasan Siburan sebelum ini tetapi beliau tidak mendedahkan butirannya.

“Selain itu, ketua kaum dan ketua masyarakat terbabit juga perlu menyuarakan cadangan penyelesaian kepada masalah terbabit ataupun mengemukakan permintaan daripada kerajaan negeri bagi menyelasaikannya,” katanya.

Disamping itu, beliau juga mahu ketua kaum dan ketua masyarakat terlibat tampil menunjukkan sokongan mereka kepada kerajaan negeri sekiranya ada sebarang isu dibangkitkan sebarang pihak tertentu terhadap kerajaan negeri.

“Ini bukan bermakna kami meminta kamu berkempen (politik) atau berdemonstrasi jalanan, tetapi tampil menyuarakan sokongan kamu kepada kerajaan dalam pelbagai cara lain samada menulis surat sokongan atau bersidang media beramai-ramai,” katanya.

Awang Yusup malahan yakin ketua kaum dan ketua masyarakat Melayu di bahagian lain juga akan ikut sama beramai-ramai tampil memberikan sokongan kepada Menteri dalam segala isu dibangkitkan atau politi kerajaan negeri sekiranya ketua kaum dan ketua masyarakat terbabit di bahagian Kuching memulakannya. — DayakDaily