Pemilik kereta Mini Cooper selamat, kereta dipandu terbakar

Pasukan bomba sedang berusaha memadam kebakaran melibatkan sebuah kereta.

Oleh Dean Adam

MIRI, Feb 27: Berpantang maut sebelum ajal.

Demikianlah yang terjadi ke atas seorang lelaki yang terselamat selepas kereta yang dipandunya tiba-tiba terbakar di Jalan Beraya Kejapil di sini hari ini.


Kejadian kira-kira pukul 5.40 petang itu telah mengakibatkan sebuah kereta Mini Cooper musnah terbakar 100 peratus.

Menurut jurucakap bomba, sepasukan anggota bomba bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 5.45 petang.

Jelasnya, apabila tiba di lokasi kejadian pasukan bomba mendapati api sedang marak membakar kereta berkenaan.

“Bagaimanapun, pemandu kereta yang berusia 30 tahun itu tidak mengalami kecederaan selepas sempat keluar menyelamatkan diri.

“Pasukan bomba kemudian melakukan operasi pemadaman sehingga kebakaran terpadam kira-kira 15 minit selepas itu,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap sama menambah, operasi tersebut tamat sepenuhnya selepas keadaan di lokasi kejadian terkawal. — DayakDaily