Kes rogol dalam lokap: PDRM tidak nafi terdapat unsur kecuaian

Aidi (dua dari kanan) kelihatan di perkarangan Balai Polis Pusat Miri pada tengahari Selasa (19 Jan 2021).

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 19 Jan: Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail tidak menafikan wujudnya kecuaian dan pelanggaran prosedur operasi ‘standard’ (SOP) lokap di kalangan dua anggotanya sehingga menyebabkan kejadian tahanan remaja perempuan dirogol.

“Ya…memang terdapat unsur kecuaian pada anggota kita yang bertugas menjaga lokap pada waktu kejadian,” jelas Aidi.


Aidi ditemui selepas mengadakan lawatan ke Balai Polis Pusat Miri pada tengahari Selasa (19 Jan) susulan kejadian.

Terdahulu, beliau ke Ibu Pejabat Polis Daerah Miri (IPD) menghadiri satu sesi taklimat berkenaan kes tersebut.

“Banyak berlaku ketidakpatuhan SOP dalam menjalankan tugas pada hari kejadian. Kita akan membuat tindakan sewajarnya berdasarkan hasil siasatan yang dilakukan oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman bersama IPK Sarawak,” ujar Aidi.

Beliau turut memberi jaminan, siasatan kes tersebut siap dalam minggu ini.

Turut mengiringi Aidi ialah Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari.

Dalam kejadian yang berlaku pada Januari 9, mangsa, seorang remaja perempuan berusia 16 tahun mendakwa dirogol seorang tahanan lelaki ketika ditahan di dalam lokap Balai Polis Pusat Miri. — DayakDaily