Kes jenayah turun 337 kes setakat Julai

Mohd Dzuraidi (tengah) menyaksikan penyerahan dokumen serah terima tugas antara Shafie (kiri) dan Muhammed Hasbullah (kanan) di IPK Sarawak.

KUCHING, Ogos 6: Indeks jenayah yang direkodkan bagi tempoh tujuh bulan pertama tahun ini di negeri ini menurun sebanyak 337 kes iaitu 3,311 kes berbanding 3,648 kes pada tahun lalu.

Pemangku Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Pahlawan Mohd Dzuraidi Ibrahim berkata, jenayah kekerasan didapati menurun sebanyak 62 kes iaitu 481 kes dilaporkan setakat Julai 31 lalu berbanding 543 kes dalam tempoh sama pada 2017.

Katanya, kategori kes jenayah kekerasan yang menunjukkan penurunan ialah kes bunuh (8 kes), rogol (12 kes), samun berkawan tanpa senjata api (24 kes) samun tanpa senjata (4 kes) dan kes-kes melibatkan Seksyen 324/325/326 Kanun Keseksaan (16 kes).


“Penurunan indeks jenayah ini disumbangkan dengan penurunan kadar jenayah terutamanya di bandar-bandar utama di negeri ini.

“Bagaimanapun, terdapat peningkatan dua kes melibatkan samun berkawan bersenjata api sepanjang tujuh bulan pertama tahun ini,” katanya selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Sarawak antara SAC Shafie Ismail dan SAC Datuk Muhammed Hasbullah Ali di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di sini hari ini.

Shafie yang sebelum ini menyandang jawatan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Sarawak mulai Januari 2, 2017 akan menjawat jawatan baharu sebagai Ketua Pusat Pengajian Sains Pengurusan, Maktab Polis Diraja Malaysia di Kuala Lumpur.

Sementara itu, Mohd Dzuraidi menambah, kejayaan yang dicapai itu tidak akan terhasil sekiranya tiada usaha keras yang menyeluruh atau tindakan secara kolektif berterusan daripada semua pegawai dan anggota polis dalam melaksanakan tugas mereka.

“Saya yakin dengan adanya kesedaran dan penghayatan terhadap amanah dan tugas bagi setiap pegawai dan anggota, prestasi polis kontinjen Sarawak akan terus cemerlang pada masa akan datang,” katanya lagi. — DayakDaily