24 penghuni terjejas akibat kebakaran libatkan tiga rumah


KUCHING, Ogos 6: Seramai 24 penghuni daripada tiga keluarga terjejas akibat kebakaran yang melibatkan tiga buah rumah di Lorong Cahaya Damai 8B di Bandar Baru Samariang di sini lewat petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.41 petang itu, sebuah rumah telah musnah terbakar 100 peratus, manakala dua lagi rumah masing-masing terbakar kira-kira 50 peratus.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran tersebut pada pukul 5.42 petang.


Jelasnya, sepasukan 11 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya kemudian diarahkan ke lokasi untuk melakukan kerja-kerja memadam kebakaran.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, pasukan bomba mendapati api sedang membakar sebuah rumah teres setingkat jenis kekal.

“Api kemudian merebak ke dua buah rumah bersebelahan, namun kepantasan pasukan bomba melakukan operasi memadam kebakaran berjaya menyelamatkan kedua-dua rumah berkenaan daripada turut musnah terbakar sepenuhnya,” katanya di sini hari ini.

Anggota bomba sedang berusaha memadam kebakaran rumah di Bandar Baru Samariang, Kuching.

Tiong menambah, operasi pemadaman kebakaran itu menggunakan sumber air dari jentera dan pili bomba sehingga api padam sepenuhnya.

Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati tiada mangsa yang cedera akibat kejadian berkenaan.

“Buat masa ini, pihak bomba masih menyiasat punca kebakaran dan jumlah kerugian akibat kejadian itu,” katanya. — DayakDaily