Kerjasama strategik Agrobank-MPB beri manfaat kepada 30,000 pekebun kecil lada

Dari kiri: Muhamad Taufik Mahamad Zakaria, Pemangku Ketua Pegawai Transformasi Agrobank; Masaat Awadz, menanggung tugas Presiden / Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank; Abu Hassan Alshari Yahaya, Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia; Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal, Pengerusi Agrobank; Datuk Datu Nasrun Datu Mansur, Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi; Marina Abdul Kahar, Pengarah Kewangan Pembangunan dan Enterpris; Dr Harry Entebang, Ketua Pengarah Lembaga Lada Malaysia; Othman Sajili, Timbalan Ketua Pengarah Lembaga Lada Malaysia dan Syed Ibrahim Syed Mohd, Pengarah Wilayah Sarawak Agrobank di majlis menandatangani Kerjasama Strategik antara Agrobank dan Lembaga Lada Malaysia yang berlangsung di Kuching, Sarawak pagi semalam.

KUCHING, Nov 27: Agrobank semalam memeterai kerjasama strategik dengan Lembaga Lada Malaysia (MPB) yang dijangka memberi manfaat kepada lebih 30,000 pekebun-pekebun kecil lada di seluruh Malaysia.

Menurut satu kenyataan media, majlis berlangsung di Cityone Exhibition Centre sempena Karnival Kewangan Sarawak dan disaksikan oleh 150 orang tetamu.

Kerjasama strategik ini telah ditandatangani oleh Masaat Awadz yang memangku tugas Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank dan Dr Harry Entabang, Ketua Pengarah Lembaga Lada Malaysia sambil disaksikan oleh Mohamad Taufik Mahamad, Pemangku Ketua Pegawai Transformasi Agrobank dan Othman Sajili, Timbalan Ketua Pengarah Lembaga Lada Malaysia. Datu Nasrun Datu Mansur, Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komuniti dan Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal, Pengerusi Agrobank turut bersama-sama menyaksikan tandatangan kerjasama strategik ini.

Kerjasama strategik Agrobank-MPB ini memberi fokus kepada program pembiayaan khas yang akan memberi manfaat kepada lebih 30,000 pekebun-pekebun kecil lada yang berdaftar di bawah MPB. Selain itu, kerjasama ini turut memberi fokus kepada penyediaan fasiliti pembiayaan kepada koperasi MPB dan juga syarikat yang menguruskan perdagangan (trading) serta penyediaan perlindungan takaful untuk MPB yang komprehensif dan nilai berpatutan.

Menurut Mohamad Zabidi Zainal, sebagai sebuah bank yang memberi fokus kepada pembangunan komuniti pertanian, Agrobank yakin kerjasama dengan MPB akan memberi manfaat terutamanya memperkasakan pekebun-pekebun kecil lada dari segi akses kewangan.

“Agrobank, sebagai bank yang dimandatkan untuk memperkasa industri pertanian negara, percaya gabungan usaha dan kerjasama dengan rakan kongsi strategik seperti MPB penting untuk meningkatkan rangkuman (‘outreach’) pembiayaan bagi komuniti pertanian,” kata Mohamad Zabidi.

Menurut beliau lagi, kerjasama bersama MPB ini merupakan satu inisiatif penting untuk membangunkan dan memperkasakan industri lada di negara ini.

“Kerjasama ini membolehkan kedua-dua organisasi untuk fokus kepada teras perniagaan masing- masing; Agrobank kepada pembiayaan dan perkhidmatan kewangan manakala MPB fokus kepada penanaman dan penghasilan lada yang lebih berkualiti.”

Datu Nasrun dalam ucapannya berkata, kerjasama strategik ini merupakan simbol komitmen berterusan kementeriannya melalui agensi dibawahnya iaitu MPB untuk membantu para pekebun-pekebun kecil lada meningkatkan pendapatan mereka melalui kaedah pembiayaan yang inovatif.

“Kerjasama antara Lembaga Lada Malaysia dan Agrobank ini dapat memberi solusi pembiayaan kepada pengusaha tanaman lada melalui pengurusan modal yang lebih efisien. Ia akan membolehkan mereka memberikan tumpuan kepada produktiviti dan peningkatan hasil secara sepenuhnya,” ujar nya.

Agrobank ditubuhkan pada tahun 1969 dengan mandat untuk membangun dan memperkasakan sektor pertanian negara. Ia adalah sebuah bank milik kerajaan di bawah bidang kuasa Menteri Kewangan Diperbadankan. Pembiayaan bank dalam sektor pertanian adalah didorong oleh dasar yang ditetapkan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA).

Agrobank secara rasmi bergelar institusi perbankan Islam sepenuhnya pada Julai 1, 2015. — Bernama