Kerani kerugian RM30K selepas ditipu sindiket dalam helah kad kredit

Scam alert. — DayakDaily.com file pic // Photo: Pixabay

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 25 Ogos: Seorang kerani sebuah pasaraya di Taman Tunku berputih mata apabila kerugian RM30,000 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan menggunakan helah kad kredit semalam (24 Ogos).

Menurut Ketua Polis Daerah Miri ACP Lim Meng Seah ketika ditemui pagi Selasa di Jalan Ulu Suai Niah, mangsa itu menerima panggilan daripada seorang lelaki memperkenalkan diri sebagai pegawai sebuah bank di cawangan Klang kira-kira jam 10 pagi berhubung kes kad kredit nya yang dikatakan telah melebihi had.


“Pengadu dimaklumkan limit kredit kad bank pengadu telah melebihi had dan bertanya jika pengadu ingin menambah kredit limit tersebut,” ujar Lim.

Beliau berkata, pada mulanya pengadu menyatakan tidak mempunyai sebarang kredit kad dengan pihak bank berkenaan.

“Namun panggilan telah disambungkan ke ‘IPK Selangor’ di mana seorang suspek lain bernama `Sarjan Yang` mengatakan terdapat rekod kes kad kredit atas nama pengadu, pengadu seterusnya telah disambungkan ke Bukit Aman dan bercakap dengan seorang individu yang memperkenalkan diri sebagai `Tuan Jeffrey`.”

Lim menambah, pengadu diminta untuk memberikan username online banking akaun bank bagi urusan menukar nombor serial kad.

“Tidak lama selepas itu pengadu diarahkan untuk memberikan TAC nombor yang diterima dan tanpa sebarang soal pengadu memberikan nombor TAC,” katanya.

Pengadu merasa sesuatu yang meragukan dan menghubungi pihak bank dan mendapati terdapat dua transaksi pemindahan wang ke dalam akaun sebuah bank sebanyak RM30,000.

“Pengadu menyedari dirinya telah ditipu dan membuat laporan polis pada 24 Ogos,” jelas Lim.

Kes disiasat mengikut Seskyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.—DayakDaily