Kerajaan Sarawak peruntuk RM5.38 juta mantapkan OSC MIDS

Fatimah(duduk kanan) pada sidang media di Kuching hari ini (24 Ogos 2021).

KUCHING, 24 Ogos: Kerajaan Sarawak meluluskan peruntukan sebanyak RM5.38 juta untuk memantapkan keberkesanan Pelan Tindakan ‘One-Stop Committee’ (OSC) bagi Menangani Isu Dadah dan ‘Substance’ (MIDS) di negeri ini.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, peruntukan yang diluluskan itu bagi pendapatkan peralatan dan instrumen taktikal berasaskan teknologi ‘artificial intelligence’ (AI).

Katanya, ia seperti mesin pengimbas bahan narkotik untuk diletakkan di pusat-pusat kargo lapangan terbang utama di Sarawak termasuk alat pengesan dadah dan alat pengesan penyalahgunaan dadah.


“Hasil kolaborasi secara bersepadu di kalangan ahli penguatkuasaan dan bukan penguatkuasaan dalam OSC MIDS Sarawak sudah memberi impak positif mengikut statistik yang dilaporkan sepanjang Julai 2021.

“Malah setakat Julai lepas, sebanyak 114 siri program pencegahan dan pendidikan pencegahan telah dilaksanakan oleh OSC MIDS Daerah di tempat kerja, di institusi pendidikan dan dalam komuniti,” katanya dalam satu sidang media OSC MIDS Negeri Sarawak di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Fatimah berkata bagi tempoh Julai 2021, sebanyak tiga peratus iaitu sebanyak enam orang ditangkap oleh Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak yang mempunyai kaitan dengan isu dadah dan ‘substance’.

“Jumlah ini menunjukkan penurunan sebanyak 75 peratus berbanding dengan Jun 2021 iaitu sebanyak 24 orang,” jelas beliau lagi. — DayakDaily