Kerajaan negeri menandatangi MoU untuk memajukan industri madu kelulut

Uggah (tengah) sedang menyaksikan Chai (tiga dari kiri ) bertukar dokumen MoU dengan Chun Chuang (tiga dari kanan) selepas mereka menandatanganinya di Wisma Bapa, Petra Jaya, di Kuching.

KUCHING, Mei 23: Kerajaan negeri melalui Jabatan Pertanian Sarawak telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan syarikat pemilik kilang memproses madu kelulut di Sabah, Borneo Stingless Bee Sdn Bhd (BSB) di Wisma Bapa, Petra Jaya, di sini, semalam.

Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah, Datuk Amar Douglas Uggah Embas menyaksikan majlis menandatangani MoU terbabit antara Pemangku Pengarah Jabatan Pertanian Sarawak, Dr Alvin Chai Lian Kuet dengan Pengarah BSB, Tan Chun Chuang dan Tan Kai Yong.

Juga menyaksikan majlis menandatangani MoU itu ialah Menteri Muda Pembangunan Tanah Adat, Datuk Roland Sagah Wee Inn dan Setiausaha Tetap Kementerian Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah, Datu Ik Pahon Joyik.


Objektif MoU terbabit adalah bagi mempromosi dan meningkatkan kerjasama dalam pembangunan industri kelulut di Sarawak sepanjang keseluruhan rantaian pembekalannya dengan bidang kerjasama terbabit merangkumi pengeluaran madu kelulut berkualiti bagi industri kelulut dan juga promosi dan pemasaran madu kelulut bagi pasaran domestik dan eksport.

Bidang kerjasama lain dalam MoU ialah penyelidikan dan pembangunan dalam pengeluaran madu kelulut, pemindahan dan pertukaran pengetahuan dan teknologi inovatif dalam industri kelulut dan juga sebarang kerjasama lain yang akan diaturkan bersama kedua pihak dari masa ke semasa.

BSB yang ditubuhkan pada Okt 13, 2016 mempunyai kilang memproses madu kelukut di Kota Kinabalu, Sabah yang kapasiti pengeluaran sebulannya sebanyak 15 tan madu kelulut dibawah jenama MADULUT yang juga dieksport ke luar negara.

Tahun lepas syarikat terbabit mengumpul sebanyak 13 tan madu kelulut dari seramai 200 petani di seluruh negeri ini dan membelinya pada harga sebanyak RM80 sekilogram dan ketika ini sedang berusaha mematuhi peraturan ketat bagi mengeksport keluaran kilang mereka ke China, Taiwan, Hong Kong, Singapura, Korea dan negara timur tengah.

Sementara itu, Uggah berkata sebelum in kerajaan negeri telah menandatangani MoU dengan Rimbunan Hijau Sdn Bhd pada April 23 tahun ini bagi membangunkan industri kelulut di Sarawak dengan syarikat itu ketika ini menghasilkan sehingga dua tan madu kelulut sebulan dari 10,000 sarang lebah kelulut.

“Dengan ditandatangani MoU hari ini, akan ada dua syarikat utama yang akan bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi menjalankan program melonjakkan bilangan penyertaan pertani tempatan dalam penternakan madu kelulut. Ini penting kerana petani di negeri ini masih bergantung kepada tanaman komoditi kelapa sawit, getah, lada sebagai sumber pendapatan mereka tetapi harganya kerap turun naik, maka kelulut boleh menjadi pendapatan tambahan bagi mereka,” katanya.

Disamping itu penternakan kelulut juga tidak begitu rumit bagi diceburi petani tempatan dengan satu sarang lebah kelulut di negeri ini mampu mengeluarkan 500 gram madu sebulan bergantung kepada kuantiti bunga yang terdapat dipersekitaran sarangnya.

Beliau berkata BSB dan Rimbunan Hijau Sdn Bhd bagaimanapun mempunyai fokus yang berlainan dan selepas ini Jabatan Pertanian Sarawak akan berbincang dengan kedua syarikat bagi memperincikan pelan dan perlaksanaan program kelulut di negeri yang akan fokus kepada melibatkan dan membantu petani yang menternak madu kelukut terutama dari segi pemasarannya. — DayakDaily