HUS kesan waris pesakit bernama Osman Sulaiman

HUS mencari ahli keluarga pesakit yang dikenal pasti sebagai Osman Sulaiman.

KUCHING, Mei 22: Hospital Umum Sarawak (HUS) kini sedang mencari ahli keluarga kepada seorang pesakit lelaki Melayu yang dikenali sebagai Osman Sulaiman, berumur dalam lingkungan 70-an untuk tampil ke HUS dengan kadar segera.

HUS dalam satu kenyataan hari ini berkata, mengikut maklumat yang diterima, pesakit itu telah dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut setelah dijumpai hampir lemas oleh orang awam sekitar pukul 3 pagi di Sungai Kampung Masjid/ Bandarsah, Jalan Datuk Ajibah Abol, Kuching pada Mei 15 lalu.

Ketika ditemui, pesakit tidak mempunyai sebarang rekod pengenalan diri selain tidak dapat mengingati maklumat kesihatannya sehingga menyukarkan pihak hospital memperolehi maklumat kesihatan serta perubatan beliau.


Pesakit hanya dapat mengingati beberapa nama adik-beradik beliau iaitu, Masnah Sulaiman (Kampung Kudei, Kuching), Hasnah Sulaiman (Kampung Tanjung Selatan, Jalan Patingan, Kuching) Senawi Sulaiman, Sepawi Sulaiman dan Zulmajid Sulaiman yang dipercayai masih tinggal di Kuching.

Sehingga kini tiada rakan atau saudara-mara yang datang melawat pesakit.

Sehubungan itu, sesiapa yang mengenali ahli keluarga pesakit, dimohon untuk menghubungi Nor-Asmawati Mohamad Ali, Pegawai Kerja Sosial Perubatan HUS di talian 082-245 036/ 245 051 dengan kadar segera. — DayakDaily