Kerajaan negeri memperuntukkan RM20 juta tahun ini untuk Unifor

Uggah (tengah) mewakili Unifor menyampaikan cek peruntukan kerajaan negeri sebanyak RM500,000 kepada wakil dari Diocese Of Kuching St Thomas, Rev Donald Jute (dua dari kanan) di pejabatnya di Wisma Bapa, Petra Jaya, Kuching, hari ini.

KUCHING, Jun 26: Kerajaan negeri memperuntukan keseluruhannya sebanyak RM20 juta kepada Unit Bagi Agama Lain (Unifor) tahun ini bagi diagihkannya kepada badan agama bukan Islam di negeri ini yang perlu bantuan membina dan membaiki rumah ibadat dan setakat ini peruntukan itu masih belum habis diagihkan.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas sebagai menteri yang bertanggungjawab terhadap Unifor sehubungan itu meminta penganut agama bukan Islam di negeri ini iaitu Kristian, Hindu, Sikh, Bahai dan yang lain supaya memohon baki peruntukan itu dari Unifor yang mencecah RM4.13 juta.

“Setakat ini sebanyak RM15.87 juta peruntukan itu sudah diagihkan, maknanya kamu (penganut agama yang bukan Islam di negeri ini) masih boleh menghantar permohonan (kepada Unifor bagi mendapatkan baki peruntukan itu sebanyak RM4.13 juta),” katanya selepas menyampaikan dua cek peruntukan itu tahun ini kepada dua penerima di pejabatnya di Wisma Bapa, Petra Jaya, di sini, hari ini.

Cek peruntukan sebanyak RM500,000 telah diterima Diocese Of Kuching bagi membantu pembinaan St Thomas House of Epiphany dan sebanyak RM200,000 diterima Persatuan Sikh Sarawak bagi menyediakan tapak krematorium.

Douglas berkata sebanyak RM15.87 peruntukan untuk tahun ini telah diagihkan Unifor kepada seramai 208 penerima dan menjangkakan baki peruntukan terbabit akan diagihkan kepada penerimanya pada fasa kedua tahun ini. Tahun lepas kerajaan negeri memberikan peruntukan keseluruhannya sebanyak RM15 juta melalui UNIFOR yang kemudian diaggihkannya kepada seramai 77 penerima.

“Pada 2017, Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg telah mengumumkan peruntukan tahunan dari sumber kewangan negeri kepada Unifor bagi membantu agama lain selain Islam membina dan membaiki rumah ibadat,” katanya.

Beliau berkata Unifor yang ditubuhkan April 27, 2017 dibawah Jabatan Ketua Menteri juga sudah mempunyai seramai 17 orang kakitangan dan sedang berkembang dengan kabinet negeri turut meluluskan tanah negeri seluas tiga ekar bagi pembinaan kompleks Unifor terletak di Jalan Ong Tiang Swee, di sini.

“Adalah amat sukar bagi memberikan kamu satu garis masa bagi menyiapkan projek (kompleks Unifor) itu kerana ianya dalam proses perancangan ketika ini, tetapi kami berharap pembinaannya dapat bermula secepat mungkin,” katanya dengan kompleks tersebut akan menjadi pejabat Unifor untuk mengadakan mesyuarat atau latihan.

Katanya, selain itu, kabinet negeri juga telah meluluskan pengwujudan Unit Amanah Kebajikan Agama Lain bagi Sarawak pada Mac 29 tahun ini yang mensasarkan untuk menjaga kebajikan agama lain di negeri ini yang dibawah pemantauan Unifor. — DayakDaily