APMM tahan dua bot kargo, rampas 10 tan ikan di perairan Miri

Kelihatan dua bot kargo yang ditahan APMM Miri.

MIRI, Jun 26: Tidak serik ditahan.

Itulah perumpamaan yang tepat menggambarkan tindakan sebuah syarikat tempatan yang tidak serik meskipun telah beberapa kali ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Dalam kejadian terbaru, dua bot kargo yang beroperasi di bawah satu syarikat tempatan iaitu ‘One United Seafood Trading Sdn Bhd’ telah ditahan APMM Miri di kedudukan 35 batu nautrika dari muara Sungai Miri menerusi Operasi Permai yang dijalankan pada Jun 25 lalu.


Pengarah Zon Maritim Miri, Kepten Maritim Md. Fauzi Othman berkata, kedua-dua bot tersebut ditahan selepas disyaki menjalankan kegiatan menangkap ikan dengan menggunakan kaedah tunda ganding yang diharamkan dalam perairan negara.

Jelasnya, sebelum itu, bot peronda APMM yang menjalankan Operasi Permai telah mengesan pergerakan sebuah bot kargo yang bernombor pendaftaran One United 35 dalam keadaan mencurigakan pada pukul 6.35 petang.

“Kira-kira 20 minit kemudian, pasukan sama mengesan sebuah lagi bot kargo yang bernombor pendaftaran One United 25 juga ketika sedang melakukan operasi berkenaan.

“Hasil pemeriksaan, kedua-dua bot kargo tersebut disyaki menangkap ikan dengan menggunakan kaedah tunda ganding, malah lesen kedua-dua bot kargo terbabit juga telah tamat tempoh,” katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

Md. Fauzi menambah, menerusi kejayaan itu, seramai 27 kru warga Vietnam berumur 18 hingga 48 tahun telah ditahan dengan dua daripada kru berkenaan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri sah.

Katanya, sejumlah 10,000 kilogram (kg) atau 10 tan ikan pelbagai jenis bernilai RM100,000 juga telah dirampas daripada dua buah bot kargo terbabit.

“Kedua-dua bot itu telah dibawa ke Pusat Tahanan Vesel (PTV) Pulau Melayu di sini untuk tindakan lanjut.

“Kes ini disiasat mengikut Akta Perikanan 1985, Akta Imigresen 1959/63 dan Ordinan Perkapalan 1952/1960,” ujarnya lagi. — DayakDaily