Kementerian Pendidikan Malaysia guna SOP lantik calon guru interim

Kementerian Pendidikan Malaysia - logo

KUCHING, Ogos 14: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang jelas dalam urusan pengambilan calon guru interim.

Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) dalam satu kenyataan hari ini memberitahu, KPM telah memberi kuasa kepada JPNS untuk melantik calon-calon yang berkelayakan sebagai guru interim khususnya di negeri ini.

Bagaimanapun kata JPNS, penurunan kuasa itu bukan bermakna bahawa JPNS mempunyai kuasa mutlak untuk menentukan kemasukan calon guru, sebaliknya JPNS masih tertakluk kepada keputusan ujian psikometrik yang dikendalikan pihak Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) yang melayakkan mereka dipanggil untuk sesi temu duga yang dijalankan oleh JPNS.


“Berdasarkan rekod, pada tahun 2016, seramai 391 guru interim lepasan Universiti Tun Abdul Razak (UniRazak) telah lulus temuduga dan telah diperaku pelantikan tetap sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) Gred DG41 oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP).

“Pada tahun 2018 pula, seramai 30 graduan lepasan UniRazak yang telah dilantik sebagai guru interim. Hal ini menunjukkan bahawa KPM sentiasa memberi peluang kepada graduan daripada semua institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS) termasuk UniRazak untuk menabur khidmat bakti sebagai guru di sekolah kerajaan,” kata JPNS dalam satu kenyataan media hari ini.

JPNS menambah, KPM dan JPNS sentiasa terbuka terhadap semua cadangan dan teguran berkaitan urusan pengambilan guru interim.

Tambah JPNS, KPM juga sangat prihatin dan sentiasa berlaku adil kepada pemohon atau calon yang berminat untuk menjadi guru di semua sekolah KPM termasuk di negeri Sarawak.

“Bagaimanapun, calon tersebut perlu mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan berdasarkan pekeliling sedia ada.

“Ini kerana KPM tidak boleh berkompromi dengan syarat kelayakan calon guru bagi memastikan profesion guru terus berkualiti dan menjadi pemangkin melahirkan modal insan yang cemerlang di masa hadapan,” ujar JPNS lagi.

Dalam pada itu, JPNS menambah, selaras dengan pelaksanaan ‘Dasar Empowerment’ 90:10 di negeri Sarawak beberapa tindakan telah diambil oleh pihak KPM bagi mencapai sasaran tersebut pada tahun ini iaitu pelaksanaan penempatan guru baharu dan pertukaran guru sedia ada atas kepentingan perkhidmatan.

Kata JPNS, langkah lain ialah dengan pengambilan pelajar Fakulti Pendidikan dalam kalangan pelajar kelahiran Sarawak di Universiti Awam (UA) dan pengambilan guru baharu kelahiran Sarawak secara pasaran terbuka.

“Pelantikan guru baharu dalam kalangan calon pasaran terbuka juga masih tertakluk kepada syarat skim Pegawai Perkhidmatan Pendidikan yang sedang berkuat kuasa.

“Bagi mengisi kekosongan jawatan yang tidak dapat ditampung oleh bekalan graduan pendidikan kelahiran Sarawak dari IPGM dan UA, KPM telah melaksanakan pelantikan guru secara interim dalam kalangan graduan pendidikan institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS) yang berasal daripada Sarawak secara pasaran terbuka,” jelas JPNS lagi. — DayakDaily