Keluarga rayu Macloita pulang

Harine (kiri), bersama Teri, mengesat air matanya apabila terkenangkan dan merindui anak keduanya, Macloita Linker Teri.

Oleh Cornelius Kadir Edison

SRI AMAN, 23 Nov: “Pulanglah nak… Kami amat merinduimu,” demikian rayuan sepasang suami isteri di Kampung Pakit B di sini terhadap anak mereka yang menghilangkan diri tanpa khabar berita sejak tujuh tahun lalu.

Macloita Linker Teri, 30, juga didakwa tidak pernah menghubungi ibu dan bapanya selepas kali terakhir beliau berbuat demikian pada 2013 yang lalu.


Bapanya, Teri Luchan, 57, berkata ketika itu Macloita menghubunginya bagi menyatakan hasrat untuk mendirikan rumah tangga bersama dengan gadis pilihannya yang dipercayai berasal daripada Sabah.

“Pada masa itu saya katakan pada dia yang saya dan ibunya tidak menghalang hasratnya itu dan meminta dia untuk memperkenalkan gadis tersebut dengan saya dan ibunya.

“Pada masa itu dia beritahu akan bawa gadis tersebut untuk bertemu muka dengan kami selepas dia selesai penugasan semasa insiden pecerobohan di Lahad Datu di bawah perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pakit B di sini.

Macloita Linker Teri

Katanya, gadis tersebut juga pernah menghubunginya bagi meminjam wang sebanyak RM5,000 yang didakwa akan digunakan sebagai bayaran pendahuluan untuk membeli sebuah kereta.

Bagaimanapun pemintaan tersebut kata Teri terpaksa ditolak olehnya memandangkan dia belum berjumpa serta mengenali gadis tersebut dengan lebih rapat.

Teri berkata, detik tersebut merupakan kali terakhir mereka mendapat perkhabaran daripada Macloita dan mereka percaya Macloita berkemungkinan merajuk disebab perkara tersebut.

Katanya, pelbagai ikhtiar telah dicuba untuk mengesan keberadaan Macloita namun sehingga kini masih belum mebuahkan sebarang pertunjuk.

Jelas Teri, beliau dan isterinya, Harine Lenda Briku, 55, amat merindui anak kedua mereka daripada tiga beradik itu memandangkan sudah tujuh tahun Macloita tidak menghubungi atau menghantar sebarang berita kepada keluarganya.

“Sebelum menghilangkan diri tanpa berita, dia (Macloita) telah pulang ke tempat kem dia bertugas di Pulau Pinang. Dia juga memberitahu pada saya dan ibunya bahawa dia diberikan cuti khas selepas kembali dari bertugas semasa insiden pencerobohan di Lahad Datu,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengetahui keberadaan Macloita Linker boleh menghubungi bapanya, Teri di talian 011- 1525 5456. — DayakDaily