2 lelaki didenda dan penjara kerana gaduh serta tumbuk anggota polis

Kedua-dua suspek semasa ditahan,

KUCHING, 23 Nov: Dua lelaki ‘mabuk’ ditangkap selepas dikatakan bergaduh di hadapan Balai Polis Batu Kawa pada 15 November lepas.

Ketua Polis Daerah Padawan Supt Aidil Bolhassan berkata suspek, 28 dan 36 tahun dikatakan hadir di balai polis kerana berlaku perselisihan faham di antara mereka sekitar jam 10.45 malam.

Bagaimanapun, keadaan menjadi tegang apabila kedua-dua suspek yang dibawah pengaruh alkohol itu bergaduh sehingga terpaksa dileraikan pihak polis.


“Mereka mulanya datang ke balai pois dengan niat ingin menyelesaikan masalah, tetapi pergaduhan yang tercetus.

“Dua anggota polis yang bertugas cuba meleraikan pergaduhan tersebut namun kedua-dua suspek tidak memberi kerjasama, malah bertindak menumbuk anggota polis terbabit,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambah Aidil, kekerasan minima terpaksa digunakan pihak polis dan kedua-dua suspek yang dalam keadaan agresif itu akhirnya berjaya ditangkap.

“Mereka kemudian ditahan di bawah seksyen 186 Kanun Keseksaan dan telah dijatuhkan hukuman denda RM2,000 serta penjara dua bulan,” katanya.