Kekurangan kemahiran IT menjadi penghalang ibu tunggal untuk kembali bekerja

Keyboard. ā€” Dayakdaily.com file pic. // Photo: Pixabay

KUCHING, Julai 11: Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak akan terus memperkasakan golongan ibu tunggal di negeri ini dengan kemahiran teknologi maklumat (IT) untuk membolehkan mereka mendapatkan pekerjaan.

Menteri Muda Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Rosey Yunus berkata berdasarkan kajian, didapati sebilangan besar ibu tunggal di Sarawak tidak mempunyai kemahiran IT dan ini telah menjadi penghalang kepada mereka untuk kembali bekerja, selain berhadapan kekangan dari segi penjagaan anak.

Justeru, antara inisiatif yang telah dilaksanakan adalah dengan mengendalikan Kursus Kemahiran Asas ICT bagi Golongan Ibu Tunggal (ICT4IT) dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) dan Persatuan Ibu Tunggal Sarawak (PITSA).

ā€œIni bagi membantu ibu tunggal menambah dan mengasah kemahiran IT di samping menggalakkan golongan ibu tunggal menceburi bidang usahawan secara online (eUsahawan),ā€ katanya.

Beliau menjawab Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau, Datuk Sebastian Ting yang bertanya mengenai langkah kerajaan untuk menyediakan kemahiran dan latihan kepada suri rumah dan ibu tunggal bagi membolehkan mereka mendapat pendapatan.

Selain itu, Rosey berkata kementerian melalui JWKS turut memperkenalkan program Wanita Dalam Keusahawanan Digital (WIDE) untuk usahawan wanita yang terlatih dari Pusat Latihan Wisma Wanita yang baharu memulakan perniagaan.

Katanya, program berkenaan memberi manfaat dalam membentuk wanita menjadi usahawan digital dan seterusnya dapat menjana pendapatan yang lebih mantap.

Beliau menambah Pusat Latihan Wisma Wanita juga telah membuka peluang kepada para wanita meningkatkan taraf sosio ekonomi dengan menganjurkan kursus kemahiran seperti Kursus Jahitan Kreatif, Kursus Kecantikan, Kursus Masakan dan Kursus Spa dan Urut.

Pada masa sama, katanya Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) turut membantu golongan ibu tunggal bagi menyertai program Usahawan Mikro Kebajikan.

“Di bawah program ini, kementerian akan dipertimbangkan Geran Pelancaran maksimum RM5,000 seorang bagi melaksanakan perniagaan dan akan dibimbing untuk tempoh dua tahun,” katanya.

Di samping itu, JKMS telah mengorak langkah bagi menggerakkan wanita melalui Koperasi Usahawan Mikro Kebajikan Bhd yang baharu sahaja diluluskan. ā€” DayakDaily