Sebuah keluarga cemas, bumbung rumah tercabut dan diterbangkan ribut

Keadaan bumbung sebuah rumah yang tersangkut pada wayar elektrik di Kampung Lintang.

KUCHING, Julai 11: Sebuah keluarga berdepan detik-detik mencemaskan apabila bumbung rumah mereka tercabut dan diterbangkan oleh angin ribut dalam satu kejadian di Kampung Lintang di sini lewat petang semalam.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 petang itu, tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.

Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 8 malam.


Katanya, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Lintang kemudian diarahkan ke lokasi untuk melakukan kerja-kerja pemantauan di sekitar lokasi kejadian.

“Apabila tiba, pasukan bomba mendapati bumbung sebuah rumah yang tercabut diterbangkan angin tersangkut pada wayar elektrik di atas jalan kampung berkenaan.

“Jalan kampung itu kemudian terpaksa ditutup buat sementara waktu bagi membolehkan pihak kontraktor Sarawak Energy Berhad (SEB) mengalihkan bumbung itu,” katanya di sini hari ini.

Tiong menambah, pasukan bomba hanya membantu dalam mengawal lalu lintas di lokasi sementara menunggu pihak polis tiba di kampung itu.

“Kerja-kerja mengalihkan bumbung di atas wayar elektrik itu pula dilakukan oleh pihak kontraktor SEB.

“Kita terpaksa menunggu di situ bagi mengelakkan sebarang insiden kecemasan seperti kebakaran daripada berlaku,” katanya lagi. — DayakDaily