Keju pertama keluaran Sarawak berada di pasaran penghujung 2024

Dr Rundi (empat dari kiri) menyaksikan majlis menandatangani usahasama. Turut kelihatan Abdul Rahman (dua dari kiri) dan Raja Imran (empat dari kanan).

KUCHING, 21 Sept: Keju pertama keluaran Sarawak akan berada di pasaran pada penghujung tahun 2024.

Ini hasil Perjanjian Usahasama diantara Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak (PPNS) dan Green Valley Dairy Sdn Bhd bagi aktiviti berkaitan di Stesen Penternakan Kerbau di Meragang, Lawas.

Menurut Menteri Industri Makanan, Komoditi Dan Pembangunan Wilayah (MFICORD) Dato Sri Dr Stephen Rundi, kerajaan menerusi PPNS memperuntukan RM15 juta bagi projek tersebut.

“Kilang keju yang dikenali sebagai keju mozarella ini dijangka siap pada pertengahan 2024 dan mula mengeluarkan produk pada penghujung tahun yang sama.

“Ia adalah keju halal, dan para pelabur sudah bersedia untuk memasarkannya,” kata Dr Rundi pada sidang media selepas majlis menandatangani usahasama itu di Kuching hari ini.

Menurut beliau, kawasan Meragang amat sesuai untuk dijadikan kawasan pengeluaran keju kerana terdapat lebih kurang 7,000 ekor kerbau yang diusahakan lebih 600 penternak kecilan.

Katanya, ia berpotensi untuk mengeluarkan keju daripada susu kerbau dan dilakukan oleh sebuah syarikat yang berpengalaman.

“Syarikat mendapati kawasan Meragang ini boleh menghasilkan 5,000 liter susu kerbau setiap hari.

“Daripada jumlah itu, 20 peratus akan digunakan untuk penghasilan keju,” kata Dr Rundi.

Pada majlis menandatangani usahasama itu, PPNS diwakili Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Dato Dr Abdul Rahman Ismail manakala Green Valley Dairy Sdn Bhd diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya Dr. Raja Imran Shah. — DayakDaily