Kehilangan lima biji buah kelapa, suspek lelaki ditahan polis Miri

Suspek (tengah) ditahan polis untuk siasatan lanjut.

MIRI, 2 Mei: Kurang tiga jam selepas disyaki mengambil lima biji buah kelapa tanpa kebenaran tuan empunya pokok, seorang lelaki warga tempatan ditahan polis untuk siasatan lanjut semalam (1 Mei).

Tangkapan dilakukan sekitar jam 11.20 pagi di sebuah rumah di Jalan Tanjong Batu susulan satu laporan polis yang telah dibuat pengadu mengenai kehilangan lima biji buah kelapa miliknya.

Difahamkan, kejadian telah berlaku beberapa kali sebelum pengadu tampil membuat laporan polis.


Turut ditemui semasa tangkapan suspek berusia 42 tahun itu adalah lima biji kelapa yang dilaporkan telah hilang dari sepohon pokok kelapa di halaman rumah pengadu.

Kejadian kecurian buah kelapa disedari pengadu pada jam 8.15 pagi pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan. — DayakDaily