Lelaki maut dihempap jentera berat di Ulu Beletie-Pakan

Mayat mangsa berjaya dialihkan dan seterusnya diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

Follow and subscribe to DayakDaily on Telegram for faster news updates.


BINTANGOR, 2 Mei: Seorang lelaki maut akibat dihempap jentera penggelek jalan di jalan berdekatan Rumah Panjang Ulu Beletie-Pakan di sini, hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) berkata mangsa berusia 40 tahun dan merupakan pemandu jentera berat tersebut.

Jelasnya, pasukan Bomba dari Bintangor terus ke lokasi kejadian dan memulakan operasi mengeluarkan mayat mangsa.


“Bomba memulakan operasi menggunakan cangkul untuk mengalihkan tanah di tepi badan mangsa untuk memudahkan kerja-kerja mengeluarkan mangsa.

“Setelah mangsa dikeluarkan, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Menurutnya juga, saksi memberitahu kejadian berlaku sekitar jam 10.30 pagi dan laporan berhubung kejadian hanya diterima pada jam 11.20 pagi.

“Jarak tempat kejadian (dari balai Bomba) adalah sejauh 62 kilometer, dan pasukan Bomba melalui jalan ladang kelapa sawit yang berbukit dan keadaan jalan yang kurang baik,” katanya. — DayakDaily