Cuba menjadi pendamai, tapi jadi sasaran pukul

Suspek (tiga dari kanan) dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk siasatan lanjut.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 2 Mei: Seorang remaja lelaki cedera di bahagian dada akibat dipukul teman lelaki kakaknya apabila dia cuba meleraikan satu pergaduhan antara suspek dan kakanya pada malam Sabtu (1 Mei).

Difahamkan sebelum kejadian, mangsa berusia 16 tahun itu sedang duduk makan di bahagian dapur rumah mereka di Kampung Nelayan Batu Satu Kuala Baram, apabila pertengkaran antara kakaknya dan suspek berlaku.


Mangsa cuba meleraikan pergaduhan tersebut apabila suspek cuba memukul kakaknya.

Dalam kejadian yang dilaporkan berlaku sekitar jam 7.50 malam itu, mangsa mengalami kecederaan pada dada akibat dipukul suspek berusia 23 tahun itu.

Susulan kejadian, kurang dua jam kemudian, sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Miri menahan suspek untuk siasatan lanjut.

Turut dirampas satu sudip (spatula) kuali.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari berkata kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan. — DayakDaily