Kastam rampas rokok dan minuman babitkan nilai rampasan cecah RM908,026 di Batu Niah

Rokok dan minuman keras yang disyaki belum lulus Kastam.

MIRI, 22 Jun: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak berjaya merampas pelbagai jenis rokok dan minuman keras dalam satu operasi di Batu Niah, di sini pada 16 Jun lalu.

Pengarah JKDM Sarawak Herman Shah Abdullah berkata kesemua rokok dan pelbagai jenis minuman keras terbabit disyaki belum lulus Kastam dan hendak diedarkan di sekitar kawasan Batu Niah.

Jelasnya, kejayaan tersebut adalah hasil risikan Cawangan Penguatkuasaan JKDM Bintulu dan Miri yang kemudian bertindak menahan sebuah lori di Jalan Sepupok pada jam 4 petang.


“Hasil pemeriksaan ke atas lori tersebut telah menjumpai sejumlah rokok dan minuman keras yang disyaki tidak lulus Kastam.

“Sebanyak 520,600 batang rokok putih, 539,440 batang rokok kretek, 18 kilogram tembakau dan 3,636.58 liter minuman keras pelbagai jenama dengan nilai keseluruhan termasuk cukai dan barang kes yang disita melibatkan anggaran sejumlah RM908,026.00,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun katanya, pemandu lori berjaya melarikan diri sebaik sahaja menyedari kehadiran pihak Kastam.

“Sejurus lori tersebut berhenti pemandu lori telah keluar dan melarikan diri ke dalam hutan berdekatan.

“Beberapa anggota telah mengejar namun pemandu tersebut telah berjaya meloloskan diri ke dalam hutan berhampiran,” katanya lagi.

Menurutnya, kesemua rokok dan minuman keras serta lori jenis bonded itu kemudian dibawa ke pejabat Penguatkuasaan JKDM Miri untuk siasatan lanjut.

Usaha mengesan pemilik lori dan pemandu tersebut sedang giat dijalankan bagi membantu siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967.

“Jika sabit kesalahan, (kesalahan pertama) pesalah boleh didenda tidak kurang dari 10 kali ganda amaun duti Kastam atau RM100,000.00 mengikut mana-mana amaun yang lebih besar dan tidak melebihi 20 kali ganda nilai amaun duti Kastam atau RM500,000.00 mengikut mana-mana amaun yang lebih besar, ataupun penjara tidak kurang dari 6 bulan dan tidak melebihi 5 tahun, atau kedua-duanya sekali,” tegasnya. — DayakDaily