Minuman keras bernilai RM490,650 disita Kastam di Kuching

Kontena berisi minuman keras yang disita.

KUCHING, 9 Mei: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak dengan kerjasama Zon Risik Sarawak, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak telah berjaya mematahkan cubaan membawa masuk minuman keras disyaki Wain dianggarkan bernilai RM490,650.00 pada April.

Pengarahnya Norizan Yahya berkata sepasukan Unit Operasi Darat Kuching telah menahan sebuah kontena di Customs Examination Area (CEA) Pelabuhan Senari, Kuching, Sarawak untuk tujuan tindakan lanjut pemeriksaan rapi ke atas kandungan kontena tersebut sekitar jam 10.40 pagi pada 17 April.

Katanya, Hasil pemeriksaan rapi fizikal ke atas kandungan kontena berkenaan, pasukan telah menjumpai kotak-kotak mengandungi botol-botol pelbagai jenama berisi cecair disyaki minuman keras jenis wain.


“Sementara hasil pemeriksaan ke atas dokumen sokongan dan chit borang pengikraran elektronik mendapati barangan berkenaan tidak diikrarkan dengan betul sepertimana yang telah ditetapkan dan terdapat juga beberapa barangan yang tidak mempunyai Kelulusan Had Gerakan seperti yang telah ditetapkan bagi produk minuman keras.

“Seterusnya kontena bersama barangan telah disita untuk siasatan lanjut kerana disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967 kerana telah membuat pengikraran yang tidak betul dan Seksyen 138 akta yang sama kerana gagal mematuhi Perintah Kastam (Larangan Pemindahan)(Pindaan) 2022,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya modus operandi adalah dengan membawa masuk barangan tanpa kelulusan had gerakan seperti yang telah ditetapkan di bawah Perintah Kastam (Larangan Pemindahan)(Pindaan) 2022 bersama barangan yang mempunyai kelulusan dan membuat pengikraran secara umum tanpa memperincikan setiap barangan seperti yang telah ditetapkan agar tidak dikesan oleh pihak berkuasa.

Kes disiasat di bawah Seksyen 133(1)(a) dan Seksyen 138 Akta Kastam 1967.

“Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi lima ratus ribu (RM500,000.00) atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 7 tahun atau kedua-duanya.

“Manakala untuk kesalahan di bawah Seksyen 138 akta yang sama, pesalah boleh didenda tidak melebihi lima puluh ribu ringgit atau dipenjarakan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya,” katanya.

JKDM juga menyeru kepada orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri.

Pihak JKDM juga memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan. — DayakDaily