Kantoi ditangkap mencuri produk mandian, tong gas memasak

Arrest - DayakDaily.com file pic. // Photo: Pixabay

By Brad Rantayy

MIRI, 6 Julai: Seorang penganggur kantoi apabila ditangkap mencuri beberapa produk mandian dan sebuah tong gas memasak dari sebuah stor di Flat Quadruplex Bandar Baru Permyjaya di sini awal pagi Ahad (Julai 5).

Antara barangan yang ditemui semasa tangkapan adalah satu beg sabun pencuci, beberapa biji sabun mandi dan syampu keseluruhan berjumlah RM700 termasuk tong gas memasak.


Suspek yang berusia 25 tahun itu telah ditangkap oleh pemilik rumah tersebut dibantu oleh jiran-jirannya sekitar jam 1 pagi.

Menurut sumber, semasa kejadian, pemilik rumah, seorang surirumah berusia 48 tahun, berada di kawasan depan rumahnya menghadiri upacara “ngiling bidai”.

Stor miliknya itu yang diceroboh masuk oleh suspek terletak di belakang unit flat kediamannya.

Kejadian disedari ketika beliau pergi ke belakang rumah stornya itu dan mendapati beberapa barangan telah hilang.

Suspek yang pada waktu itu masih berada di dalam rumah stor mangsa tidak sempat melarikan diri kerana pemilik stor tersebut terus menjerit meminta tolong.

Suspek telah diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat dibawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana curi. — DayakDaily