JWN lakukan kajian ke atas budaya Iban Pengap

Dato Sri Nancy Shukri

KUCHING, 16 Nov: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) menerusi Jabatan Warisan Negara (JWN) melakukan penyelidikan ke atas Pengap iaitu salah satu warisan bahasa dan kesusasteraan.

Menterinya Dato Sri Nancy Shukri berkata, Pengap atau Timang ialah puisi yang lazimnya dinyanyikan semasa pesta Gawai.

Katanya, ia merupakan sebutan yang digunakan oleh masyarakat Iban di daerah Kapit, manakala Timang adalah sebutan yang digunakan oleh masyarakat Iban di Saribas.


“Penyelidikan terhadap puisi rakyat suku kaum Iban ini penting untuk menambah maklumat bertulis memandangkan Pengap ini telah diangkat sebagai Warisan Kebangsaan pada tahun 2012.

“Ia selari dengan usaha JWN mendokumentasikan warisan etnik tempatan terutamanya dalam bidang bahasa dan kesusasteraan yang hampir pupus,” katanya di sidang Parlimen di Kuala Lumpur semalam.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan MP Batang Lupar Dato Sri Rohani Abdul Karim mengenai kajian terhadap etnik minoriti terutamanya yang berada di Sarawak dan didokumentasikan sebagai catatan khazanah negara.

Nancy yang juga MP Batang Sadong menambah, JWN juga melakukan penyelidikan ke atas Pesta Gawai Nyebang Baruk di Kampung Gumbang, Bau.

Dalam pada itu, ujar Nancy, JWN sentiasa menjalankan usaha memelihara dan memulihara warisan kebudayaan tidak ketara negara.

“Usaha berkenaan buka sahaja melibatkan etnik minoriti di Sarawak malah turut meliputi etnik minoriti di Sabah termasuk yang ada di Semenanjung.

“Warisan Kebudayaan Tidak Ketara ini meliputi seni persembahan, bahasa dan persuratan, adat dan budaya serta seni halus dan kraf,” ujarnya. — DayakDaily