Julaihi: Ubah persepsi bergantung peluang pekerjaan dalam agensi kerajaan

Julaihi (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen MoU antara Sarawak Skills dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak. JKR Sarawak di wakili pengarah eksekutifnya, Hallman Sabri manakala JKR Sarawak diwakili pengarahnya Datuk Zuraimi Sabki.

KUCHING, 20 0kt: Golongan belia serta ibu bapa di Sarawak khususnya di luar bandar dinasihat agar tidak terlalu bergantung kepada peluang pekerjaan yang ditawarkan di jabatan atau agensi kerajaan.

Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Datuk Julaihi Narawi berkata, golongan terbabit perlu membuka minda dan melihat kepada peluang-peluang yang lebih luas diluar lingkungan tersebut.

“Mengambil contoh jika anak muda ini ingin menceburi bidang industri minyak dan gas, mereka perlu mempunyai kemahiran teknikal yang khusus berkaitan industri tersebut untuk turut terlibat didalamnya kerana jika hanya lepasan universiti atau kolej profesisional ianya tidak mencukupi,” katanya ketika berucap di Majlis Menandatangai Memorandum Persefahaman (MoU) antara Sarawak Skills dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak di sini hari ini.


Katanya, Sarawak Skills dalam pada itu perlu meneroka dan melihat situasi tersebut sebagai peluang untuk melahirkan lebih ramai tenaga kerja berkemahiran tinggi untuk negeri ini.

Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Perlabuhan Datuk Julaihi Narawi

“Kita mempunyai ramai golongan belia atau anak muda daripada luar bandar terutamanya yang boleh dilatih sebagai tenaga kerja mahir yang mana akan menjadi sumber tenaga mahir Sarawak di masa hadapan.

“Jika kita dapat melatih mereka dalam bermacam-macam bidang teknikal maka mereka bukan sahaja menjadi sumber tenaga teknikal dimasa hadapan tetapi juga mampu menjadi golongan usahawan muda yang dapat kita dorong untuk turut serta dalam peluang perniagaan masa hadapan,” katanya.

Julaihi (kanan) mendengar penerangan daripada seorang kakitangan Sarawak Skills ketika melawat kampus pusat latihan berkenaan.

Tambah beliau, perkara itu akan membuka minda golongan terlibat dengan peluang-peluang pekerjaan yang wujud dalam bidang kemahiran dan teknikal sekali gus mengurangkan kebergantungan mereka kepada peluang kerjaya dalam agensi atau jabatan kerajaan.

Kata Julaihi, situasi tersebut secara tidak langsung akan memberikan impak dalam mengurangkan masalah pengangguran yang berlaku dikalangan golongan belia di kawasan luar bandar.

“Pada masa hadapan kita mungkin tidak terlampau bergantung kepada tenaga kerja mahir dalam bidang teknikal ini daripada luar Sarawak kerana kita mampu melahirkan tenaga kerja ini di sini bahkan mungkin kita boleh mengeksport tenaga kerja mahir ini keluar Sarawak atau Malaysia,” katanya. — DayakDaily