Panggau Dayak tarik penglibatan masyarakat Dayak dalam landskap ekonomi baharu

Abang Johari (berdiri kiri, paling atas) bersama tetamu yang lain pada Majlis Pelancaran dan Pecah Tanah Menara Panggau Dayak.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 20 Okt: Pembinaan Menara Panggau Dayak merupakan satu projek yang sangat signifikan di dalam pembangunan masyarakat Dayak di Sarawak.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, ia juga salah satu usaha kerajaan negeri untuk melibatkan masyarakat Dayak di dalam landskap ekonomi baharu tanpa meminggirkan kebudayaan Dayak.


Katanya, ia juga seiring dengan usaha Sarawak untuk menjadi negeri paling maju di Malaysia menjelang 2030.

“Untuk mencapai matlamat itu, kita mesti menaiktaraf persekitaran dengan pelbagai infrastruktur serta meningkatkan kebolehan kita dan kita mesti peka kepada perkara yang berlaku di seluruh dunia kerana kita adalah sebahagian daripada ekonomi dunia”, katanya.

Leonard Martin (kiri) menyampaikan ‘jerukan atap’ kepada Abang Johari sebagai
penghormatan kepada kehadiran beliau di majlis tersebut.

Abang Johari berkata demikian pada Majlis Pelancaran dan Pecah Tanah Menara Panggau Dayak di Jalan Ong Tiang Swee di sini, hari ini.

Menara Panggau Dayak yang dibina dengan kos RM36 juta menempatkan dua bangunan 9 tingkat milik Yayasan Kebudayaan Dayak(DCF) dan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Dayak(DCCI).

Abang Johari memuji komitmen DCF dan DCCI kerana membina Menara Panggau Dayak secara perkongsian 50:50 dan ia mencerminkan usaha rakyat Sarawak membangunkan kaum masing-masing, oleh demikian kerjaan negeri telah memperuntukkan satu kawasan yang amat strategik di Bandaraya Kuching untuk tujuan tersebut.

“Saya lihat seni bina bangunan DCCI sangat menarik dan moden, sangat sesuai untuk urusan perniagaan manakala bangunan DCF pula sebagai pusat untuk mempromosi dan memelihara kebudayaan Dayak dan saya yakin masyarakat Dayak akan maju dengan pantas,” ujar Abang Johari.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Menara Panggau Dayak Datuk Amar Douglas Uggah dalam ucapan aluan berkata, projek tersebut merupakan manifestasi dasar inklusif yang diamalkan Abang Johari.

Beliau yang Timbalan Ketua Menteri berkata dasar tersebut telah memberi manfaat kepada seluruh rakyat Sarawak.

“Bukan sahaja beliau (Abang Johari) telah memberikan satu kawasan untuk projek ini, malah DCF dan DCCI diberi peruntukkan sebanyak RM20 juta yang seterusnya membolehkan projek ini dimulakan,”kata Uggah.

Pembinaan Menara Panggau Dayak dijangka siap pada pertengahan tahun 2022.

Di samping itu, DCF dan DCCI juga akan membangunkan dua bangunan komersial iaitu apartmen dan kondominium di kawasan yang sama.

Turut hadir Pengurus Amanah DCF Datuk Amar Leonard Linggi Jugah dan Presiden DCCI Datuk Leonard Martin Uning.-DayakDaily