KUCHING, 18 Jun: Industri kraftangan Sarawak adalah antara yang terbesar dibanding negeri-negeri lain, apabila mencatatkan nilai jualan sebanyak RM30.5 juta tahun lepas.
Tahun ini pula, setakat bulan Mei, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya mendedahkan usahawan kraftangan di Sarawak berjaya mencatatkan penjualan produk mencecah RM13.6 juta.
Secara puratanya, produk kraftangan di negeri ini mencatat jualan sebanyak RM2.7 juta sebulan untuk tahun ini berbanding purata sebanyak RM2.5 juta sebulan tahun lepas.
“Kementerian amat berpuas hati dengan prestasi usahawan kraftangan di Sarawak tahun ini dan pihak kami akan mencari jalan untuk meningkatkan pengeluaran mereka agar usahawan-usahawan kraftangan mampu menjana pendapatan lebih tinggi,” kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Lipat Urus Usahawan Kraf Sarawak dan Majlis Hari Raya Aidilfitri dan Gawai Dayak di Kraftangan Malaysia Cawangan Sarawak di Petra Jaya, di sini, semalam.
Beliau mendedahkan usahawan kraftangan seluruh negara pula telah mencatatkan jualan produk sehingga mencecah RM506.5 juta sepanjang tahun lepas, dan dari Januari sehingga Mei tahun ini, jualan terbabit sudah mencecah RM211.9 juta.
“Setakat ini penjualan domestik adalah pasaran terbesar produk usahawan kraftangan di negara ini tetapi tentu sekali pelancong dari luar negara yang datang akan tertarik dengan kraftangan kita dan membelinya,” katanya.
Mohamaddin berkata kementerian juga ini akan mencari keadah bagi meningkatkan penjualan produk usahawan kraftangan tempatan ke pasaran domestik selain menembusi pasaran luar negara.
Sementara itu mengenai cukai pelancongan, beliau mendedahkan cukai itu telah diagihkan kerajaan pusat kepada semua negeri termasuk Sarawak pada Mac lepas dan kementerian itu juga akan memberi peruntukkannya kepada Sarawak tahun ini.
“Kementerian ada peruntukan tetapi tidak banyak. Kita nanti akan menyusul kemudian dan ini dari kementerian sendiri dan bukan cukai pelancongan,” katanya.
Mohamaddin menjelaskan peruntukan dari kementerian itu adalah bagi menjalankan aktiviti pelancongan di setiap negeri kerana cukai pelancongan adalah bagi menambahbaik infrastuktur dan mengumpul data pelancongan. — DayakDaily