MARA sedia RM35 juta bantu usahawan Sarawak

Zulfikri (dua dari kiri) pada lawatan ke makmal pemprosesan minyak wangi Kilang OEM. Turut kelihatan Sophia Taha (tiga dari kanan).

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 29 Jun: Majlis Amanah Rakyat (MARA) memperuntukkan sejumlah RM35 juta kepada Sarawak bagi membantu usahawan negeri berjaya di dalam bidang perniagaan.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah MARA Dato Zulfikri Osman, jumlah tersebut adalah yang terbesar jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain.


“MARA mempunyai pelbagai program bantuan, kita menyediakan ekosistem yang lengkap kepada usahawan termasuk segi pembangunan modal insan menerusi latihan serta bantuan pembangunan perniagaan.

“Bagi Sarawak, MARA memperuntukkan lebih RM35 juta bagi pembangunan usahawan di negeri ini dan kini ada 4,700 usahawan sedang bersama MARA di Sarawak.

“Saya percaya dengan angka itu, MARA serius membantu golongan usahawan Sarawak,” katanya pada sidang media selesai Perasmian Kilang Original Equipment Manufacture (OEM) di Demak Laut di sini, hari ini.

Tambah Zulfikri, Kilang OEM milik Sophia Taha Holding Sdn Bhd yang merupakan usahawan MARA telah berjaya memasarkan produknya ke luar negara seperti ke Amerika, China, Jepun dan Perancis.

Katanya, Dayang Sophia Abang Taha pada tahun 2017 telah menyertai program ‘Gate To Global’ yang merupakan inisiatif MARA bagi menggalakkan usahawan memasarkan produk ke luar negara.

“Pada tahun berikutnya beliau berjaya memasarkan produk mereka ke Negara Jepun dan Perancis.

“Impak dari program ini, produk beliau telah mendapat permintaan yang tinggi dari negara tersebut dan memerlukan penambahan kapasiti pengeluaran,” ujar Zulfikri.

Sophia Taha Holding Sdn Bhd bermula pada tahun 2014 sebagai pengilang produk-produk berasaskan madu kelulut sebelum mengembangkan perniagaan kepada pengilangan produk kecantikan dan kesihatan.

Pada sidang media yang sama, beliau turut berkata terdapat beberapa usahawan lain Sarawak yang menyertai program ‘Gate To Global’.

Usahawan-usahawan ini katanya turut berjaya memasarkan produk ke luar negara seperti produk yang berkaitan dengan lada dan sarang burung.

“Menerusi program ‘Gate To Global’ kita memberi latihan terutama dari aspek aktiviti eksport, apakah dokumen yang mereka harus sediakan untuk memasarkan produk ke luar negara.

“Di seluruh Malaysia kita ada lebih 100 usahawan yang kita pilih menyertai program dan rata-rata mereka sudah berjaya memasarkan produk ke luar negara,” ujar Zulfikri. — DayakDaily