IWCT anjur Pertandingan Kraftangan Iban Women Charitable Trust 2022-2023

Empiang (duduk tengah) pada sidang media di Kuching. Turut kelihatan Angeline (duduk kanan).

KUCHING, 10 Ogos: Iban Women Charitable Trust (IWCT) akan menganjurkan Pertandingan Kraftangan Iban Women Charitable Trust 2022-2023.

Pengerusinya Tan Sri Empiang Jabu berkata, ia merupakan siri ketiga pertandingan dianjurkan yang membuka penyertaan kepada semua masyarakat Iban di seluruh negeri.

“Tujuan pertandingan adalah untuk mempamerkan kemahiran, budaya dan hasil kraftangan masyarakat Iban khususnya golongan wanita.


“Ia juga penting bagi kita memulihara keunikan kraftangan Iban selain memastikan kemahiran ini dipelajari generasi baharu,” katanya pada sidang media di Kuching hari ini.

Selain itu tambah Empiang, pertandingan juga bertujuan untuk mengalakkan generasi baharu Iban terlibat di dalam aktiviti kraf seperti ayaman tikar bemban, tenunan kain bagi baju burung, kain kebat atau kain karap dan selapuk tunjang.

Menurut beliau, semua kraftangan ini adalah merupakan budaya, identiti dan pesaka masyarakat Iban.

Kemahiran kraftangan ini katanya dapat membantu menambah pendapatan keluarga.

Pada sidang media yang sama, Datin Sri Angeline Celestine Ujang berkata Pertandingan Kraftangan Iban Women Charitable Trust 2022 – 2023 menyediakan 3 kategori.

Katanya, kategori pertama ialah Anyaman Tikar Bemban dengan saiz 4 x 8 (kaki) dengan hadiah bagi pemenang pertama sebanyak RM1800, hadiah kedua RM1500, ketiga (RM1200).

Hadiah saguhati bagi peserta di tempat ke empat hingga ke sepuluh sebanyak RM300.

Turut dipertandingkan di dalam kategori pertama ialah Anyaman Selapuk Tunjang (buluh) yang menawarkan hadiah RM500 bagi tempat pertama, RM400 (kedua) dan RM300 (ketiga).

Manakala bagi kategori kedua ialah melibatkan Tenunan Kain Karap bersaiz 2.5 x 5 (kaki) dan Tenunan Kain Kebat bersaiz 2.5 x 5 (kaki) dengan hadiah yang disediakan adalah sama dengan kategori pertama.

Kategori ketiga ialah Pertandingan Seni Manik Empang Tradisional yang menyediakan hadiah RM1,000 bagi pemenang pertama, RM800 (kedua) dan RM600 (ketiga).

“Jawatankuasa pertandingan memberikan tempoh 8 bulan kepada peserta untuk menyiapkan kraftangan masing-masing mulai 15 Ogos 2022 hingga 15 April 2023.

“Hasil kraf mesti di hantar ke jawatankuasa pertandingan sebelum 15 April 2023. dengan peserta hanya dibenarkan bertanding di dalam satu kategori sahaja,” kata Angeline.

Borang penyertaan disediakan dan mesti di hantar ke pejabat Iban Women Charitable Trust di alamat Queen’s Court, Block E-4-1, Jalan Wan Alwi di Kuching mulai 15 Ogos hingga 15 Oktober ini.

Borang penyertaan juga boleh diperolehi di semua cawangan Sarakup Indu Dayak Sarawak (SIDS) di seluruh negeri. — DayakDaily