JPJ Sibu diminta ambil tindakan terhadap pengusaha kereta sapu, sewa di Terminal Sibu dan Kapit

Lau Hieng Choon

KUCHING, 14 Dis: Persatuan Pemilik Perkapalan Express Wilayah Tengah, Sibu meminta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Cawangan Sibu mengambil tindakan tegas terhadap pengusaha-pengusaha kereta sapu dan kereta sewa yang mengambil penumpang di Terminal Sibu dan Terminal Kapit.

Pengerusinya Lau Hieng Choon berkata, banyak rungutan dari ahli-ahli persatuan yang menyatakan bahawa semakin hari semakin banyak kereta sapu dan kereta sewa yang berhenti di kedua-dua terminal sepanjang hari.

“Ahli-ahli kami turut mengeluhkan ketidakpuasan hati terhadap persaingan tidak sama rata daripada kereta sapu dan kereta sewa.


“Perhentian kereta sapu dan kereta sewa di depan terminal sudah terkeluar dari kawasan perhentian kereta sapu dan kereta sewa yang ditentukan oleh pihak majlis tempatan,” kata Lau menerusi satu surat aduan ke JPJ Sibu bertarikh 11 Disember lepas.

Menurut beliau, perkara tersebut telah menjejaskan perniagaan ahli-ahli persatuan,terutamanya bagi pengusaha bot ekspres sektor Sibu-Song-Kapit.

Katanya, mereka telah mengalami kekurangan penumpang sebanyak 80 peratus sejak pembukaan jalan darat yang menghubungkan Sibu-Kapit pada bulan Oktober yang lalu.

Justeru, beliau berharap pihak JPJ Sibu boleh menyaran kepada pengusaha-pengusaha kereta sapu dan kereta sewa supaya berhenti di perhentian yang telah ditetapkan oleh pihak majlis.

“Pihak kami juga berharap agar JPJ boleh mengambil tindakan yang sewajarnya dengan secepat mungkin untuk menyelesaikan masalah ini,” tegas Lau. — DayakDaily