JKR Sarawak, Sabah diiktiraf Jabatan Teknikel – DPM

Dato Sri Fadillah Yusof

KUCHING, 4 Jan: Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dan Sabah diiktiraf sebagai Jabatan Teknikel, kata Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof.
Fadillah dalam satu kenyataan hari ini berkata, Jemaah Menteri telah bersetuju mengiktiraf agensi teknikal di Sarawak dan Sabah.
“Dengan pengiktirafan ini JKR Sarawak dan Sabah diberi kuasa mentadbir urus projek-projek pembangunan persekutuan pada kadar sehingga RM50 juta,” kata Fadillah.
Tambah beliau, Kerajaan turut memberi komitmen untuk meneruskan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak dan Sabah yang merupakan inisiatif Kerajaan Persekutuan untuk menambahbaik secara berperingkat jaringan infrastruktur jalan persekutuan di Sarawak dan Sabah.
Projek Pan Borneo Sarawak kini sudah 91 peratus siap, manakala projek Pan Borneo Sabah sudah 73 peratus siap.
Ujar Fadillah lagi, Kerajaan juga komited dalam meneruskan Projek Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) yang terbahagi kepada dua fasa.
Ia melibatkan SSLR Fasa 1 (Lawas-Persimpangan Long Lopeng) yang kini sudah 10 peratus siap dan SSLR Fasa 2 serta Lebuhraya Trans Borneo yang melibatkan Miri-Limbang-Lawas.
“Trans Borneo akan dimulakan sebaik sahaja Kementerian Kerja Raya selesai melantik kontraktor yang dijangka akan dimuktamadkan pada 2024,” katanya. — Dayakdaily